Jumaat, 28 Julai 2017

Gengsterisme di Sekolah

GAMBAR 1 Pelajar berkeliaran di luar kawasan sekolah ketika waktu sekolah


Gejala gengsterisme berleluasa dan kian menular di sekolah. Isu gengsterisme ini telah menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat dan negara kita. Menurut Kamus Dewan, gengsterisme bermaksud kegiatan samseng dalam kalangan samseng. Memandangkan gejala ini bertambah serius, pihak sekolah dengan kerjasama ibu bapa telah memikirkan usaha-usaha untuk menangani masalah tersebut.

Salah satu langkah untuk membanteras gejala gengsterisme ini ialah pihak sekolah hendaklah memperketat usaha pemantauan dan penguatkuasaan peraturan sekolah. Guru sekolah haruslah mendapat kerjasama polis untuk mencegah masalah ini. Jika didapati ada murid yang terlibat dalam kes tersebut perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan dijatuhi hukuman yang setimpal.
Pendidikan juga memainkan peranan yang penting dalam menangani gejala gengsterisme. Pada masa ini, murid-murid kurang mementingkan pendidikan yang tidak diambil kira dalam peperiksaan. Antaranya ialah Pendidikan Moral, Sivik, Pendidikan Agama dan sebagainya. Guru-guru dan ibu bapa perlu banyak menyalurkan ilmu dan nilai murni dalam pendidikan kepada anak-anak didik. Disiplin ilmu yang diberikan akan membolehkan mereka lebih memahami keburukan gejala gengsterisme dan menjauhkan diri daripada aktiviti negatif tersebut. Selain itu, pihak sekolah juga patut mengadakan kempen kesedaran, kempen motivasi dan pelbagai program. Maklumat yang terperinci tentang keburukan gejala gengsterisme hendaklah dibincangkan dalam kempen ini. Oleh hal yang demikian, kesedaran dapat dipupuk dalam kalangan murid dan mengalakkan diri mereka supaya tidak terbabit dalam gejala ini.
Bagi mengelakkan masalah gengsterisme daripada semakin berleluasa, langkah-langkah yang berkesan harus dilaksanakan dengan segera. Kasih sayang daripada keluarga, terutamanya ibu bapa merupakan ubat mujarab dalam penyelesaian masalah ini. Anak umpama sehelai kain putih, ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya. Oleh hal yang demikian, ibu bapa mestilah meluangkan masa mereka untuk mengambil berat tentang segala aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak di sekolah dan di luar sekolah. Ibu bapa patut melibatkan diri dengan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) untuk mengetahui pencapaian atau prestasi anak-anak mereka di sekolah. Ibu bapa juga haruslah menjadi pendengar setia dan selalu bermusyawarah bersama-sama anak mereka untuk mencari jalan penyelesaian masalah yang dihadapi oleh anak.

Selain itu, ibu bapa perlu mengenali dan mengetahui dengan siapa anak-anak mereka bergaul. Tidak salah jika ibu bapa mengajak rakan-rakan anak mereka ke rumah untuk lebih mengenali rakan anak mereka. Jika mereka tidak sesuai untuk menjadi kawan kepada anak-anak, ibu bapa perlulah menasihati anak-anak agar menjauhi kawan-kawan tersebut. Hal ini bukan sahaja dapat mengurangkan penglibatan remaja dalam jenayah gengsterisme tetapi membantu mengukuhkan institusi keluarga mereka. Remaja perlulah sentiasa diingatkan supaya tidak memilih kawan sesuka hati. Remaja harus menilai mana yang baik dan mana yang buruk untuk diikuti dan dielakkan.
Langkah seterusnya adalah penguatkuasaan peraturan sekolah. Pihak sekolah perlu menguatkuasakan peraturan sekolah dengan mengambil tindakan yang setimpal terhadap kesalahan dan masalah disiplin yang dilakukan oleh pelajar. Bagi mereka yang terlibat dengan gengsterisme, pihak sekolah perlu mengenakan tindakan tatatertib terhadap mereka seperti memberi surat amaran, hukuman rotan dan gantung persekolahan. Walaubagaimanapun, pelajar yang didapati mencederakan pelajar-pelajar lain pula haruslah ditukarkan ke sekolah juvana.
Sebenarnya, gejala gengsterisme sangat mencabar kesabaran dan kecekalan pihak pengurusan sekolah. Oleh itu, mereka yang terlibat dengan jenayah gengsterisme ini perlu dikaunseling dan dimotivasikan agar wujud kesedaran dalam diri mereka tentang bahayanya gengsterisme terhadap diri mereka. Apabila timbulnya kesedaran dalam diri mereka, secara tidak langsung mereka akan menjauhkan diri daripada gengsterisme. Minat mereka untuk terus belajar juga akan semakin menebal dalam diri mereka melalui proses motivasi dan kaunseling. Tambahan pula, keyakinan diri juga akan dipertingkat dalam proses pembelajaran .
Pendek kata, bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Kesungguhan dan kerjasama yang erat daripada pihak berkuasa, ibu bapa dan masyarakat amat memerlukan untuk menangani masalah gejala gengsterisme di negara kita.
Gambar 2 Jauhi Gejala Gangsterisme
 
Disediakan oleh , Diyanah Ellin

Khamis, 27 Julai 2017

Keruntuhan Akhlak dan Moral Generasi Muda : Di Manakah Silapnya?

Di Manakah Silapnya?

        Guru menjadi contoh kepada para pelajar di sekolah dan sangat dihormati. Para guru menjadi pendidik anak bangsa untuk memastikan mereka boleh berjaya menempuh hidup setelah dewasa kelak.  Namun kini, peranan guru dan pelajar bagaikan sudah terbalik apabila hilangnya rasa hormat pelajar terhadap guru . Di manakah silapnya sehingga pelajar semakin berani memijak maruah dan harga diri insan-insan yang mencurahkan ilmu untuk mereka?


         Jarang sekali kita mendengar isu disiplin dan moral di sekolah yang melibatkan kedua-dua pelajar dan guru pada zaman dahulu.  Tahun 2013 yang lalu, sebuah kes melibatkan seorang pelajar berumur 16 tahun merogol seorang guru wanita muda yang berusia 26 tahun telah berlaku. Pada tahun ini, kita dikejutkan sekali lagi apabila timbulnya kes seorang pelajar lelaki yang baru berusia 13 tahun telah bertindak meraba seorang guru ganti wanita yang berusia 27 tahun di sebuah sekolah di Puchong Perdana, bulan April yang lepas. 


         Pelajar itu bertindak menyentuh kemaluan guru muda itu ketika pelajar lain tengah khusyuk menunaikan solat asar. Guru muda itu berada di hadapan kelas sebelum  pelajar berjalan ke arah mangsa lalu bertindak liar terhadap mangsa.  Pelajar itu kemudiannya melarikan diri sebelum berjaya dikejar dan ditangkap oleh guru yang menjadi mangsa itu.Setelah disoal oleh  guru tersebut, pelajar itu seolah-olah tidak menyesal dan merasakan dirinya tidak bersalah. Guru muda malang itu bertindak membuat laporan kejadian ini di balai polis berdekatan dan pelajar berkenaan ditahan polis untuk siasatan lanjut.


         Apabila timbulnya kes sebegini dalam kalangan pelajar yang muda usianya, akan muncul pelbagai tanda tanya bagaimanakah moral seorang anak yang begitu muda boleh merosot sehingga menyebabkan dia bertindak agresif?  Terlalu banyak faktor yang dapat dikaitkan dengan masalah ini. Namun, salah satu faktor yang paling ketara adalah mereka terdedah dengan pelbagai perkara yang tidak elok dari internet yang mudah diakses semua orang kerana pada zaman kini, telah menjadi seakan-akan satu trend,di mana kanak-kanak seawal usia  setahun dibiasakan dengan gadget dan akses mudah ke pelbagai laman sosial. Kanak-kanak kini terdedah dengan video-video yang tidak elok kerana orang yang berniat jahat semakin bijak mencari cara untuk mempengaruhi generasi muda. Minda anak-anak muda amat rapuh berbanding orang dewasa dan sekiranya video berkenaan dapat diakses anak-anak muda tanpa sekatan, akan timbul satu perasaan ingin mencuba segala perbuatan dan tingkah laku yang mereka pelajari dari alam maya ke alam realiti. Maka, runtuhlah moral anak-anak dengan mudah.

Apa yang Perlu Kita Lakukan?

         Apakah langkah kita sebagai orang dewasa dalam mengelakkan perkara sebegini daripada berterusan? Ibu bapa perlu peka dengan semua perkara yang dilakukan anak tanpa terlalu mengongkong. Anak-anak ibarat kain putih, kitalah yang mencorakkan mereka. Anak-anak muda perlu dibimbing dari kecil untuk mengetahui dan mempraktikkan tingkah laku moral yang baik sehinggalah mereka dapat membezakan antara yang baik dan buruk dengan sendiri.  Didikan seterusnya pula akan diteruskan oleh para guru di sekolah. Oleh itu, ibu bapa perlu bekerjasama dengan guru dan bukannya bertindak terlalu memanjakan anak apabila guru ingin mendisiplinkan anak di sekolah.

Walaubagaimanapun, satu nota penting yang perlu kita ingat, moral dalam diri manusia bergantung sepenuhnya dengan pilihan diri masing-masing, dan bimbingan yang mereka terima daripada orang sekeliling  akan mempengaruhi pilihan yang mereka akan ambil. Marilah kita bertindak dari sekarang dengan membimbing anak secara tadisional seperti zaman dahulu tanpa terlalu mengharapkan gadget-gadget canggih, sehingga menyebabkan anak terjerumus dalam masalah moraliti rendah, dek kerana terlalu mengikut trend zaman canggih pada masa kini.
 - Siti Hatiza -

Sumber : http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/rakan-pergi-solat-pelajar-raba-kemaluan-guru-wanita

Rabu, 26 Julai 2017

Buli: Satu Isu Moral Yang Sangat Serius



Buli: Satu Isu Moral Yang Sangat Serius



     Salah satu isu moral yang menjadi buah mulut  ramai orang kebelakangan ini adalah masalah buli di kalangan pelajar  berikutan berlakunya beberapa kes buli  di negara kita sejak akhir-akhir ini.Buli boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Statistik Kementerian Pendidikan menunjukkan terdapat lebih daripada 14,000 kes buli di sekolah-sekolah di seluruh negara berlaku antara tahun 2012 dan 2015 dan sebahagian besar melibatkan penderaan fizikal. Menurut Nobullying.com sebuah forum dalam talian yang bertujuan untuk menghentikan kes buli, kira-kira 84 peratus kanak-kanak di Malaysia mempunyai pengalaman dibuli. Selalunya mereka akan merasa tidak berdaya terhadap masalah buli yang mereka hadapi ini.  Walaugaimanapun, sebagai ibu bapa, kita sewajarnya harus mengambil tindakan terhadap masalah buli ini bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk anak kita. Kita juga harus memahami apakah sebenarnya masalah buli ini, mengapa ianya berlaku dan bagaimana mengenal pasti buli apabila ianya berlaku. Kita juga mesti mengetahui bagaimana cara untuk mendidik anak kita dalam menghadapi masalah buli ini dan kepentingannya dari segi hubungan yang mewujudkan sifat empati dan positif pada diri mereka.





Apakah itu ‘buli’?

     Buli berlaku apabila pengunaan perkataan atau perbuatan dan tindakan yang digunakan secara berulang-ulang untuk tujuan memberi ancaman  dan membahayakan diri dan kesejahteraan seseorang itu. Walaupun ada kalanya kita dengan secara tidak sengaja boleh mengatakan atau melakukan sesuatu yang menyakitkan perasaan orang lain, namun penting untuk memahami bahawa buli adalah kelakuan yang disengajakan.Ia dilakukan dengan tujuan untuk membuat seseorang merasa terintimidasi, terancam atau tidak berdaya dan sering berlarutan
     Malangnya, buli kebiasaanya berlaku di kalangan remaja, terutama sekali di sekolah. Namun demikiani ianya boleh berlaku hampir di mana-mana sahaja seperti di tempat kerja, di rumah ataupun dalam talian.


Mengapa terjadinya buli?

     Ada banyak perkara yang boleh mempengaruhi seseorang untuk membuli orang lain. Antara sebab tersebut termasuklah:

·        merasa dirinya kuat dan boleh menguasai orang lain.

·        sebagai satu cara menghadapi ketidakbahagiaan diri atau kemarahan diri seseorang itu sendiri, kebiasaanya pembuli selalunya berasal daripada keluarga yang pincang, di mana kasih sayang dan keterbukaan amat terbatas. 

·        tekanan rakan sebaya.

·        sedikit sahaja rasa empati terhadap orang lain dan merasa gembira melihat orang lain kesakitan.

·        Kebanyakan kanak-kanak dan remaja terjebak ke dalam jenayah seperti buli  akibat pengaruh negatif rakan sebaya, kurangnya bimbingan ibu bapa, pengaruh buruk daripada Internet dan penularan unsur-unsur samseng. 

·        bagi menangani isu harga diri dan keyakinan diri seseorang pembuli itu.



     Punca utama di sebalik tingkah laku buli yang sangat serius adalah sukar untuk ditentukan dan dikenalpasti. Ia kadang-kadang boleh menjadi gabungan daripada banyak faktor-faktor yang berbeza, jadi adalah lebih baik untuk kita sentiasa berfikiran terbuka apabila cuba memahami mengapa seseorang itu mungkin melakukan tingkah laku buli ini. Mungkin terdapat banyak lagi perkara yang berlaku terhadap mereka sehingga mereka melakukan buli. Walau bagaimanapun, jika tingkahlaku seseorang yang membuli tersebut tidak diatasi, ianya akan memberi kesan yang sangat negatif terhadap orang lain sekiranya ia berlarutan. 




Bagaimana kita mengenalpasti buli
     Masalah buli ini boleh menjadi lebih serius daripada sekadar apa yang kita boleh nampak dari mata kasar kita. Ianya boleh datang dalam pelbagai bentuk yang berbeza, termasuklah:


      panggilan nama iaitu lebih kepada mempersendakan seseorang

      menyebarkan khabar angin atau menipu seseorang

      intimidasi / ugutan atau gangguan fizikal

      mensasarkan dan mempersoalkan seksualiti, agama, bangsa, jantina atau ketidakupayaan seseorang

       menyerahkan seseorang untuk membuat mereka berasa  

bersendirian atau berbeza.
 

Apakah kesan buli?
     Seseorang yang dibuli akan sentiasa merasakan diri mereka:

·       bersendirian / keseorangan dan tidak berdaya melakukan apa-apa bagi   mengatasi masalahnya ini.

·        tidak selamat dan sentiasa berada dalam ketakutan.

·        hilang fokus tumpuan terhadap pelajaran.

·        merasa rendah diri dan hilang keyakinan diri.

·        merasa sangat tertekan dan sangat sedih (kemurungan) sehingga ada kes yang melibatkan bunuh diri.

      
     Sama ada mangsa yang dibuli atau pun mereka yang melakukan buli, adalah penting untuk mengambil langkah aktif untuk menangani kelakuan ini dengan segera.

  
- Ritah Majip -

Isu Buli: Bagaimana Pendidikan Moral Dapat Mengatasi Masalah Buli di Sekolah

  Bagaimana Pendidikan Moral Dapat Mengatasi Kes Buli di Sekolah Pendidikan Moral dapat mengatasi masalah buli kerana dalam p...