Rabu, 26 Julai 2017

Buli: Satu Isu Moral Yang Sangat Serius



Buli: Satu Isu Moral Yang Sangat Serius



     Salah satu isu moral yang menjadi buah mulut  ramai orang kebelakangan ini adalah masalah buli di kalangan pelajar  berikutan berlakunya beberapa kes buli  di negara kita sejak akhir-akhir ini.Buli boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Statistik Kementerian Pendidikan menunjukkan terdapat lebih daripada 14,000 kes buli di sekolah-sekolah di seluruh negara berlaku antara tahun 2012 dan 2015 dan sebahagian besar melibatkan penderaan fizikal. Menurut Nobullying.com sebuah forum dalam talian yang bertujuan untuk menghentikan kes buli, kira-kira 84 peratus kanak-kanak di Malaysia mempunyai pengalaman dibuli. Selalunya mereka akan merasa tidak berdaya terhadap masalah buli yang mereka hadapi ini.  Walaugaimanapun, sebagai ibu bapa, kita sewajarnya harus mengambil tindakan terhadap masalah buli ini bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk anak kita. Kita juga harus memahami apakah sebenarnya masalah buli ini, mengapa ianya berlaku dan bagaimana mengenal pasti buli apabila ianya berlaku. Kita juga mesti mengetahui bagaimana cara untuk mendidik anak kita dalam menghadapi masalah buli ini dan kepentingannya dari segi hubungan yang mewujudkan sifat empati dan positif pada diri mereka.





Apakah itu ‘buli’?

     Buli berlaku apabila pengunaan perkataan atau perbuatan dan tindakan yang digunakan secara berulang-ulang untuk tujuan memberi ancaman  dan membahayakan diri dan kesejahteraan seseorang itu. Walaupun ada kalanya kita dengan secara tidak sengaja boleh mengatakan atau melakukan sesuatu yang menyakitkan perasaan orang lain, namun penting untuk memahami bahawa buli adalah kelakuan yang disengajakan.Ia dilakukan dengan tujuan untuk membuat seseorang merasa terintimidasi, terancam atau tidak berdaya dan sering berlarutan
     Malangnya, buli kebiasaanya berlaku di kalangan remaja, terutama sekali di sekolah. Namun demikiani ianya boleh berlaku hampir di mana-mana sahaja seperti di tempat kerja, di rumah ataupun dalam talian.


Mengapa terjadinya buli?

     Ada banyak perkara yang boleh mempengaruhi seseorang untuk membuli orang lain. Antara sebab tersebut termasuklah:

·        merasa dirinya kuat dan boleh menguasai orang lain.

·        sebagai satu cara menghadapi ketidakbahagiaan diri atau kemarahan diri seseorang itu sendiri, kebiasaanya pembuli selalunya berasal daripada keluarga yang pincang, di mana kasih sayang dan keterbukaan amat terbatas. 

·        tekanan rakan sebaya.

·        sedikit sahaja rasa empati terhadap orang lain dan merasa gembira melihat orang lain kesakitan.

·        Kebanyakan kanak-kanak dan remaja terjebak ke dalam jenayah seperti buli  akibat pengaruh negatif rakan sebaya, kurangnya bimbingan ibu bapa, pengaruh buruk daripada Internet dan penularan unsur-unsur samseng. 

·        bagi menangani isu harga diri dan keyakinan diri seseorang pembuli itu.



     Punca utama di sebalik tingkah laku buli yang sangat serius adalah sukar untuk ditentukan dan dikenalpasti. Ia kadang-kadang boleh menjadi gabungan daripada banyak faktor-faktor yang berbeza, jadi adalah lebih baik untuk kita sentiasa berfikiran terbuka apabila cuba memahami mengapa seseorang itu mungkin melakukan tingkah laku buli ini. Mungkin terdapat banyak lagi perkara yang berlaku terhadap mereka sehingga mereka melakukan buli. Walau bagaimanapun, jika tingkahlaku seseorang yang membuli tersebut tidak diatasi, ianya akan memberi kesan yang sangat negatif terhadap orang lain sekiranya ia berlarutan. 




Bagaimana kita mengenalpasti buli
     Masalah buli ini boleh menjadi lebih serius daripada sekadar apa yang kita boleh nampak dari mata kasar kita. Ianya boleh datang dalam pelbagai bentuk yang berbeza, termasuklah:


      panggilan nama iaitu lebih kepada mempersendakan seseorang

      menyebarkan khabar angin atau menipu seseorang

      intimidasi / ugutan atau gangguan fizikal

      mensasarkan dan mempersoalkan seksualiti, agama, bangsa, jantina atau ketidakupayaan seseorang

       menyerahkan seseorang untuk membuat mereka berasa  

bersendirian atau berbeza.
 

Apakah kesan buli?
     Seseorang yang dibuli akan sentiasa merasakan diri mereka:

·       bersendirian / keseorangan dan tidak berdaya melakukan apa-apa bagi   mengatasi masalahnya ini.

·        tidak selamat dan sentiasa berada dalam ketakutan.

·        hilang fokus tumpuan terhadap pelajaran.

·        merasa rendah diri dan hilang keyakinan diri.

·        merasa sangat tertekan dan sangat sedih (kemurungan) sehingga ada kes yang melibatkan bunuh diri.

      
     Sama ada mangsa yang dibuli atau pun mereka yang melakukan buli, adalah penting untuk mengambil langkah aktif untuk menangani kelakuan ini dengan segera.

  
- Ritah Majip -

1 ulasan:

  1. Masukkan sedutan sokongan rujukan luar dalam artikel kemudian senaraikan semua rujukan luar dalam format APA di penghujung artikel.

    BalasPadam

Isu Buli: Bagaimana Pendidikan Moral Dapat Mengatasi Masalah Buli di Sekolah

  Bagaimana Pendidikan Moral Dapat Mengatasi Kes Buli di Sekolah Pendidikan Moral dapat mengatasi masalah buli kerana dalam p...