Khamis, 27 Julai 2017

Keruntuhan Akhlak dan Moral Generasi Muda : Di Manakah Silapnya?

Di Manakah Silapnya?

        Guru menjadi contoh kepada para pelajar di sekolah dan sangat dihormati. Para guru menjadi pendidik anak bangsa untuk memastikan mereka boleh berjaya menempuh hidup setelah dewasa kelak.  Namun kini, peranan guru dan pelajar bagaikan sudah terbalik apabila hilangnya rasa hormat pelajar terhadap guru . Di manakah silapnya sehingga pelajar semakin berani memijak maruah dan harga diri insan-insan yang mencurahkan ilmu untuk mereka?


         Jarang sekali kita mendengar isu disiplin dan moral di sekolah yang melibatkan kedua-dua pelajar dan guru pada zaman dahulu.  Tahun 2013 yang lalu, sebuah kes melibatkan seorang pelajar berumur 16 tahun merogol seorang guru wanita muda yang berusia 26 tahun telah berlaku. Pada tahun ini, kita dikejutkan sekali lagi apabila timbulnya kes seorang pelajar lelaki yang baru berusia 13 tahun telah bertindak meraba seorang guru ganti wanita yang berusia 27 tahun di sebuah sekolah di Puchong Perdana, bulan April yang lepas. 


         Pelajar itu bertindak menyentuh kemaluan guru muda itu ketika pelajar lain tengah khusyuk menunaikan solat asar. Guru muda itu berada di hadapan kelas sebelum  pelajar berjalan ke arah mangsa lalu bertindak liar terhadap mangsa.  Pelajar itu kemudiannya melarikan diri sebelum berjaya dikejar dan ditangkap oleh guru yang menjadi mangsa itu.Setelah disoal oleh  guru tersebut, pelajar itu seolah-olah tidak menyesal dan merasakan dirinya tidak bersalah. Guru muda malang itu bertindak membuat laporan kejadian ini di balai polis berdekatan dan pelajar berkenaan ditahan polis untuk siasatan lanjut.


         Apabila timbulnya kes sebegini dalam kalangan pelajar yang muda usianya, akan muncul pelbagai tanda tanya bagaimanakah moral seorang anak yang begitu muda boleh merosot sehingga menyebabkan dia bertindak agresif?  Terlalu banyak faktor yang dapat dikaitkan dengan masalah ini. Namun, salah satu faktor yang paling ketara adalah mereka terdedah dengan pelbagai perkara yang tidak elok dari internet yang mudah diakses semua orang kerana pada zaman kini, telah menjadi seakan-akan satu trend,di mana kanak-kanak seawal usia  setahun dibiasakan dengan gadget dan akses mudah ke pelbagai laman sosial. Kanak-kanak kini terdedah dengan video-video yang tidak elok kerana orang yang berniat jahat semakin bijak mencari cara untuk mempengaruhi generasi muda. Minda anak-anak muda amat rapuh berbanding orang dewasa dan sekiranya video berkenaan dapat diakses anak-anak muda tanpa sekatan, akan timbul satu perasaan ingin mencuba segala perbuatan dan tingkah laku yang mereka pelajari dari alam maya ke alam realiti. Maka, runtuhlah moral anak-anak dengan mudah.

Apa yang Perlu Kita Lakukan?

         Apakah langkah kita sebagai orang dewasa dalam mengelakkan perkara sebegini daripada berterusan? Ibu bapa perlu peka dengan semua perkara yang dilakukan anak tanpa terlalu mengongkong. Anak-anak ibarat kain putih, kitalah yang mencorakkan mereka. Anak-anak muda perlu dibimbing dari kecil untuk mengetahui dan mempraktikkan tingkah laku moral yang baik sehinggalah mereka dapat membezakan antara yang baik dan buruk dengan sendiri.  Didikan seterusnya pula akan diteruskan oleh para guru di sekolah. Oleh itu, ibu bapa perlu bekerjasama dengan guru dan bukannya bertindak terlalu memanjakan anak apabila guru ingin mendisiplinkan anak di sekolah.

Walaubagaimanapun, satu nota penting yang perlu kita ingat, moral dalam diri manusia bergantung sepenuhnya dengan pilihan diri masing-masing, dan bimbingan yang mereka terima daripada orang sekeliling  akan mempengaruhi pilihan yang mereka akan ambil. Marilah kita bertindak dari sekarang dengan membimbing anak secara tadisional seperti zaman dahulu tanpa terlalu mengharapkan gadget-gadget canggih, sehingga menyebabkan anak terjerumus dalam masalah moraliti rendah, dek kerana terlalu mengikut trend zaman canggih pada masa kini.
 - Siti Hatiza -

Sumber : http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/rakan-pergi-solat-pelajar-raba-kemaluan-guru-wanita

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Isu Buli: Bagaimana Pendidikan Moral Dapat Mengatasi Masalah Buli di Sekolah

  Bagaimana Pendidikan Moral Dapat Mengatasi Kes Buli di Sekolah Pendidikan Moral dapat mengatasi masalah buli kerana dalam p...