Khamis, 7 September 2017

Kesan-kesan Gangsterisme



Gejala gengsterisme merupakan satu fenomena laknat yang melibatkan muda-mudi di seluruh dunia yang sudah pun menjadi isu yang hangat dipolemikkan oleh pelbagai pihak dalam media tempatan. Kepincangan disiplin tersebut semakin menular dan amat merunsingkan Kementerian Pelajaran dan pihak sekolah kerana isu gengsterisme kian menjadi hambatan kepada usaha kerajaan untuk mewujudkan iklim yang kondusif di sekolah dan masyarakat yang harmonis.

 Image result for KESAN GANGSTERISME berita harian
Sememangnya jika seseorang remaja melibatkan diri dalam gejala sosial seperti gengsterisme, ini akan mendatangkan kesan buruk atas diri sendiri remaja tersebut. Masa depan remaja tersebut akan dihancurkan. Remaja yang digelarkan sebagai benteng negara akan dilabelkan sebagai golongan remaja yang jahat dan tidak berguna dan turut mencemari imej diri sendiri. Mereka akan dicemuh dan dipandang hina oleh masyarakat. Remaja yang terlibat dalam gejala sosial menyebabkan mereka menjadi sampah masyarakat dan dipandang hina. Pada tahap ini remaja tidak mempunyai hala tuju atau matlamat yang jelas pada masa depan dan tidak bercita-cita tinggi. Sekalipun mereka insaf, mereka tetap sukar untuk mendapat kepercayaan masyarakat dan mereka akan dipandang serong. Hal ini menyukarkan mereka untuk  mendapat pekerjaan dan seterusnya akan disisihkan oleh ahli keluarga kerana tidak dapat menerima kelakuan mereka menyebabkan hidup mereka terumbang-ambing.
 Image result for KESAN GANGSTERISME berita harian
Akibat perlakuan sendiri, keluarga pelaku gengster turut mendapat impaknya, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga, masyarakat hilang kepercayaan terhadap keluarga tersebut, maruah keluarga tercalar dengan tindakan remaja tersebut ibarat menconteng arang ke muka. Hal ini menjejaskan masa depan adik-beradik yang lain dan lebih teruk lagi jika menjejaskan emosi ahli keluarga yang tidak dapat menerima tekanan daripada masyarakat. Masalah ini akan berlarutan dalam jangka masa yang lama untuk dipulihkan. Penglibatan remaja dalam gengsterisme turut mencemari imej keluarga. Ahli keluarga akan dikritik, dikutuk dan dipandang serong oleh masyarakat. Ini akan menjejaskan hubungan baik keluarga yang sepatutnya seindah Taj Mahal. Selain itu, perbuatan jahat remaja juga akan meninggalkan kesan mental dan psikologi yang mendalam kepada ahli keluarga.
Kewujudan golongan pelajar di sekolah yang terlibat dengan kegiatan gengsterisme akan membawa masalah yang besar kepada sekolah. Salah laku pelajar akan memberi impak secara langsung atas kualiti pendidikan yang diberikan di sekolah. Golongan ini akan melakukan pelbagai masalah dan perkara ini boleh mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah. Contohnya kes seorang pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Janggut dibuang sekolah,manakala empat lagi digantung persekolahan selama dua hingga tiga minggu kerana terbabit dalam pergaduhan yang menyebabkan seorang pelajar Tingkatan Tiga terkena libasan kerambit di sekolah itu (Berita Harian,2009). Pelajar-pelajar yang digantung atau dibuang sekolah akan ketinggalan dalam pelajaran. Berasaskan perkembangan ini, aktiviti gengsterisme yang wujud di sekolah-sekolah jika tidak dikawal akan menyebabkan P&P tidak dapat dijalankan dengan berkesan. Hal ini bukan sahaja merugikan mereka yang melakukan aktiviti gengsterisme malahan kepada peljar-pelajar lain yang tidak bersalah.
Aktiviti-aktiviti gengsterisme yang sering berlaku akan menyebabkan masyarakat berasa tidak selamat untuk hidup. Anggota masyarakat biasanya akan dielakkan untuk keluar dari rumah. Hal ini kerana mereka takut akan turut menjadi mangsa keganasan. Segala aktiviti-aktiviti harian mereka seperti bersukan, beriadah dan sebagainya akan dikurangkan dan dihentikan bagi menjamin keselamatan diri. Biasanya kejadian yang paling ditakuti masyarakat ialah terbabit dengan pergaduhan antara kumpulan-kumpulan gengster. Pergaduhan mereka biasanya akan mengakibatkan kecederaan yang serius atau lebih teruk lagi mati.
Kesan aktiviti gengsterisme yang paling mudah untuk dilihat adalah kerosakan harta benda, terutamanya harta benda awam. Antara harta benda awam yang sering menjadi sasaran mereka adalah pondok telefon, tandas awam dan sebagainya. Buktinya, ganggang telefon awam terputus dan banyak grafik yang menyakitkan mata diconteng di dinding-dinding tandas. Menurut Kamus Dewan (2003), menconteng dinding bermaksud mencoreng-coreng dengan cat arang dan sebagainya. Bercalit-calit, berpalit-palit di dinding-dinding tanpa matlamat atau tujuan. Grafik-grafik yang diconteng adalah sukar dipadam dan memerlukan perbelanjaan yang banyak untuk membersihkan atau mengecatkannya semula. Selain itu, di Alor Star terdapat kes pelajar mengebom kereta guru dengan bom petrol disebabkan guru disiplin merotan mereka kerana melanggar disiplin di sekolah (Harian Metro, 2009). Kegiatan merosakkan harta benda awam atau vandalisme yang dilakukan oleh ahli-ahli gengsterisme ini telah banyak menyusahkan masyarakat terutamanya semasa berlakunya kes-kes kecemasan.
Walhasil, pelajar-pelajar mesti dikekang daripada melibatkan diri dalam kegiatan samseng. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja merupakan orang yang bakal mengambil alih teraju kepimpinan negara. “Pemuda tiang negara, pemudi harapan bangsa”. Segenap lapisan masyarakat mesti menggembleng tenaga demi membanteras kegiatan samseng ke akar umbi. Masalah ini nescaya dapat ditangani dengan adanya penggemblengan tenaga daripada semua pihak kerana “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.” Marilah kita bersama-sama membulatkan tekad untuk mencapai aspirasi negara sifar jenayah dan membentuk Malaysia sebagai sebuah negara tercinta yang aman dan bahagia buat selama-lamanya!

Disediakan oleh  Droteh Ellin
Sumber ;  http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/pelajar-perlu-bagi-tumpuan-elak-gangsterisme-1.664824
 https://www.bharian.com.my/node/18569

1 ulasan:

  1. Penulisan/penerbitan blog adalah hampir serupa dengan penulisan atas kertas. Senarai rujukan haruslah dicatatkan dalam format APA.

    BalasPadam

Isu Buli: Bagaimana Pendidikan Moral Dapat Mengatasi Masalah Buli di Sekolah

  Bagaimana Pendidikan Moral Dapat Mengatasi Kes Buli di Sekolah Pendidikan Moral dapat mengatasi masalah buli kerana dalam p...