Jumaat, 22 September 2017

Isu Buli: Bagaimana Pendidikan Moral Dapat Mengatasi Masalah Buli di Sekolah



 Bagaimana Pendidikan Moral Dapat Mengatasi Kes Buli di Sekolah


Pendidikan Moral dapat mengatasi masalah buli kerana dalam pendidikan Moral nilai-nilai murni diterapkan dengan terperinci dan diajar secara efektif kepada pelajar. Setiap nilai-nilai murni diajar untuk membentuk moral yang baik kepada setiap pelajar. 

Contohnya dalam pembelajaran koperatif. Guru akan menggunakan kaedah koperatif bagi menerapkan nilai kerjasama dalam diri pelajar agar perasaan saling bantu membantu akan wujud. Guru akan membahagikan murid kepada 2 kumpulan dan setiap kumpulan mempunyai 4 ke 5 orang ahli dan mempunyai kebolehan yang pelbagai. Guru akan memberikan dilema kepada setiap kumpulan dan dua soalan berbeza untuk setiap kumpulan. Contohnya Dilema Kamal. Kamal dan Johan bersahabat baik dan mereka tidak pernah bergaduh. Mereka saling menghormati antara satu sama lain. Tambahan mereka semakin rapat sejak 4 tahun lagi. Walaubagaimanapun, Johan mempunyai satu tabiat buruk yang kurang disukai oleh Kamal iaitu dia gemar terlibat dalam masalah buli. Kadang-kadang Johan berjaya mempengaruhi Kamal untuk bersama-sama membuli pelajar yang lebih pasif dan lebih kecil. Kamal telah berazam untuk tidak terlibat lagi dengan kegiatan buli Johan. Kerana menurutnya buli adalah perkara yang tidak baik tambahan dia mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran memandangkan UPSR tidak lama lagi dan dia mahu mendapat keputusan yang cemerlang, tetapi Johan sering mendesak Kamal untuk menyertai kegiatannya jikalau tidak Johan akan memutuskan persahabatan mereka. Kamal menghadapi dilemma yang mana mahu menjadi pelajar yang cemerlang dalam pelajaran dan mahu meneruskan persahabatan dengan John.

Setiap kumpulan akan diberi  2 soalan berbeza dan jawapan yang bersesuaian dengan soalan untuk dilekatkan pada jadual yang disertakan. Contoh soalan pertama kumpulan satu ialah “Haruskah Kamal menolakkan ajakan Johan? Kenapa?. Jawapan yang disertakan ditulis dalam satu ayat berasingan. Jawapannya seperti berikut. Harus menolak ajakan Johan kerana dikenakan hukuman atas tindakan tersebut. Jikalau mematuhi peraturan akan mendapat kesan yang positif. Perlu tolak ajakan sebab pelajaran lebih penting kepada mereka untuk berjaya dalam hidup. Kamal perlu menjadi contoh yang baik kepada Johan.

Soalan kedua untuk kumpulan satu ialah “Perlukah Kamal menasihati Johan supaya jangan terlibat dengan aktiviti buli di sekolah lagi? Mengapa? Jawapannya ialah Kamal perlu menasihati Johan supaya tidak terlibat dalam buli kerana mereka bersahabat baik. Perbuatan membuli adalah menyalahi peraturan dan undang-undang sekolah. Seseorang yang melanggar undang-undang merupakan seseorang yang tidak bermoral.

Seterusnya soalan satu untuk kumpulan dua ialah “Haruskah Kamal mengikut kehendak Johan untuk membuli kerana bimbang persahabatan mereka terputus?. Contoh jawapan berbunyi, Kamal tidak perlu mengikut Johan tetapi dia perlu menasihati Johan supaya tidak terlibat dalam kes buli lagi serta titik beratkan soal pelajaran dan sahsiah diri agar menjadi pelajar yang berjaya dan berakhlak mulia. Kamal perlu bersikap lebih prihatin terhadap Johan sebagai sahabat baik.
Soalan kedua untuk kumpulan dua ialah “ perlukah Kamal menasihati Johan supaya tidak terlibat dalam masalah buli lagi. Contoh jawapannya , mencuba untuk menjadi seseorang yang baik dan prihatin kepada orang lain. Perlu menasihati Johan supaya berubah ke arah yang lebih baik serta menumpukan perhatian kepada pelajaran kerana kawan adalah rakan yang paling tepat untuk mengajak ke arah kebaikan.

Setelah mereka berjaya melengkapkan jadual dengan jawapan yang disertakan dan menampalkan pada bahagian yang disediakan, setiap kumpulan akan membentangkan jawapan yang diperolehi serta melakonkan dialog spontan berdasarkan soalan dan jawapan yang disertakan sebagai pengukuhan. Kumpulan lain akan memberi pandangan sama ada jawapan dan lakonan yang dipersembahkan bertepatan dengan soalan yang diberikan.

Setelah selesai perbentangan kumpulan, guru akan menyoal tentang kesan daripada dilema tersebut. Apakah perasaan mereka sekiranya mereka berada pada situasi Kamal dan Johan. Perlukah mereka melakukan buli terhadap orang lain dan apakah kesannya pada diri dan masa depan pelaku buli dan orang yang dibuli. Jika situasi berlaku kepada mereka apakah tindakan yang  perlu mereka ambil untuk  mengatasi masalah tersebut. Guru meminta beberapa orang murid menyatakan kesan buruk tindakan buli kepada diri kita dan mangsa buli.

Pendidikan Moral dapat mengatasi masalah buli ini jika murid mengambil iktibar daripada dilema  yang diterangkan dan dapat berfikir akan kesan buruk terhadap tindakan yang salah, kesan tersalah pilih dan terlalu mengikut kehendak orang lain tanpa memikirkan kesan ke atas diri dan masa depan. Murid perlu selalu diingatkan akan kesan buruk sesuatu tindakan negatif yang diambil ke atas diri, keluarga dan masa depan sendiri. Murid juga perlu selalu diingatkan tentang apa yang mereka dapat apabila mengamalkan sikap yang baik dan tidak menyalahi undang-undang sama ada peraturan di rumah, di sekolah ataupun di tempat awam, kenapa peraturan disediakan dan mengapa ia perlu dipatuhi. Semuanya bertujuan untuk melindungi seseorang daripada melakukan sebarang kesalahan yang boleh memudaratkan diri mereka sendiri dan orang lain. Oleh itu, kita harus bijak berfikir sebelum melakukan sesuatu agar kita dapat menghindari segala kejahatan dan ingatlah kita sebagai pelajar datang ke sekolah dengan nawaitu untuk menimba ilmu dan mendapat keberkatan daripadaNya. Jadi jangan sesekali melakukan buli kepada orang yang kecil, lemah dan muda daripada kita. Sentiasalah jadi contoh dan teladan yang baik kepada semua orang.   

 -Ritah Majip-

Penyalahgunaan Dadah di kalangan Remaja : Bagaimana Remaja Boleh Terjebak


BAGAIMANA REMAJA BOLEH TERJEBAK DENGAN PENYALAHGUNAAN DADAH

Terdapat pelbagai perkara yang boleh menyebabkan remaja terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Faktor yang paling utama ialah kurangnya peranan ibubapa, masalah keluarga, faktor diri sendiri dan pengaruh rakan sebaya. Faktor-faktor lain pula seperti sekolah dan masyarakat.



 
     Faktor Kurangnya Peranan Ibu Bapa

         Sering kali dinyatakan ibu bapa mempengaruhi kejayaan remaja khasnya pelajar di dalam pelajaran. Ini kerana ibu bapa yang sentiasa memberi galakan dan perangsang sehingga mereka timbul minat, semangat ketekunan dan keyakinan diri dalam menghadapi pelajaran (Jamal Darus, 1989). Ibu bapa juga yang menentukan pola-pola tingkah laku remaja. Faktor-faktor  seperti dorongan dan galakkan, disiplin di rumah, hubungan mesra antara ibu bapa dan anak serta keluarga yang utuh memberi kesan ke atas pembentukkan personaliti, motivasi dan pencapaian akademik remaja yang masih bergelar pelajar. Ibu bapa yang sentiasa memberi dorongan dan bantuan dikaitkan dengan kejayaan yang tinggi (T. Marimuthu, 1990). Disiplin yang berterusan dan hubungan baik antara ibu bapa dengan remaja meningkatkan motivasi kejayaan di dalam pelajaran.
                                               
Dalam kajian ke atas 408 orang kanak-kanak, pengkaji mendapati keadaan di rumah adalah lebih cepat dikaitkan dengan kemajuan sekolah daripada kecerdasan. Sungguhpun begitu, kedua-duanya mempunyai hubungan signifikan (Ibid; 1990). Dengan ini jelaslah betapa penting dan besarnya peranan ibu bapa dalam membentuk, mendidik dan mengasuh anak-anak. Dengan kata lain, keutuhan institusi kekeluargaan dapat menjamin kecemerlangan remaja khususnya dalam alam pendidikan dan perkembangan personaliti.

Ibu bapa khususnya, adalah salah satu faktor persekitaran yang banyak mempengaruhi pembentukan dan perkembangan personaliti atau sahsiah remaja. Ini kerana, ibu bapa menjadi sumber utama dan pertama proses pembelajaran dan pembentukan keperibadian remaja. Hakikat ini jelas dinyatakan oleh bapa psikologi moden, Freud (1983). Oleh itu, ibu bapa yang tidak memainkan peranan dalam pembentukan tingkah laku remaja menyebabkan berlakunya kemunduran pembentukan dan perkembangan personaliti atau sahsiah remaja tersebut.

Cara gaya keibubapaan atau cara asuhan dipercayai banyak mempengaruhi personaliti remaja khususnya pelajar sama ada di dalam kelas mahupun di luar kelas. Contohnya, ibu bapa yang mengamalkan cara gaya asuhan yang bersifat autokratik dipercayai menyebabkan lahirnya personaliti yang terlalu agresif, memberontak ataupun sebaliknya iaitu melahirkan individu pesimis. Remaja yang bersifat agresif dan memberontak kebiasaannya lebih gemar menghabiskan masanya di luar rumah kerana berasa terkongkong berada di dalam rumah. Maka, dari sini bermulalah pengaruh-pengaruh luar yang negatif seperti pengaruh kawan-kawan yang devian, rasa ingin kebebasan seterusnya menyebabkan punca berjinak-jinak dengan najis dadah.

Faktor Masalah keluarga

Remaja daripada keluarga yang berpecah belah atau yang ketiadaan ibu bapa atau kedua-duanya mengalami kehilangan tempat bergantung, tempat menumpahkan kasih sayang serta tempat menerima contoh dan teladan untuk menjadi bekal penghidupan di hari dewasa sebagai ahli masyarakat yang lebih aktif dan dinamis. Keadaan seperti ini boleh menjejaskan perkembangan remaja terutamanya dalam pencapaian akademik serta proses pembentukan personaliti. Ini bersesuaian dengan salah satu keperluan iaitu keperluan termilik dan kasih sayang (Maslow, 1954). Menurut Maslow, kekurangan perhubungan kasih sayang menjadi punca kecelaruan personaliti yang mungkin melibatkan tingkah laku agresif dan anti sosial.

Sebagai contohnya, remaja daripada keluarga yang ibubapanya bercerai mempunyai IQ yang lebih rendah di samping melahirkan ciri-ciri tingkah laku yang negatif seperti permusuhan, zalim dan tiada kasih sayang (Goldfarb: Petikan Wan Azmi, 1987). Krisis keluarga seperti penceraian dan pertengkaran ibu bapa juga boleh menyebabkan remaja kehilangan obor panduan hidup. Maka, lahirlah personaliti remaja yang tidak sihat dan lemah pencapaian akademiknya. Seterusnya menyumbang kepada pelbagai gejala negatif termasuklah penagihan dadah.

Kedudukan kewangan sesebuah keluarga menentukan jenis-jenis kemudahan yang dapat disediakan untuk anak-anak. Keluarga yang berada mampu menyediakan bahan-bahan pengajaran tambahan seperti komputer, tutor bimbingan, alat permainan (raket, tenis, skuasy, alat muzik seperti piano, organ elektrik) dan sebagainya. Dengan kemudahan ini anak-anak mendapat pendedahan yang begitu luas. Seseorang remaja yang memperoleh pencapaian akademik yang baik serta dapat bermain pelbagai permainan dan alat muzik, memang mempunyai aras keyakinan diri yang tinggi. Sebaliknya, remaja daripada keluarga yang miskin mengalami pelbagai jenis masalah seperti ketiadaan tempat khas hendak belajar ataupun ketiadaan tutor ataupun buku panduan tambahan. Walaupun remaja itu mungkin hendak menyertai permainan tenis ataupun skuasy, mereka menghadapi masalah hendak membeli raket berkenaan. Perkembangan personaliti remaja berkenaan turut terjejas dan mempengaruhi proses pembelajarannya. Hal ini, jika tidak dibimbing dengan baik akan membawa kepada hilangnya minat belajar, ponteng kelas atau sekolah seterusnya membawa kepada masalah yang lebih serius seperti menghidu gam, mencuri, dan menagih dadah.
 
     Faktor Pengaruh Sekolah

Remaja menghabiskan hampir seluruh masanya di sekolah. Pengaruh sekolah adalah kedua pentingnya berbanding dengan pengaruh keluarga. Organisasi dan struktur belajar di sekolah seperti pengagihan pelajar mengikut pencapaian, pihak berkuasa yang menekankan peperiksaan, bentuk, struktur ganjaran dan hukuman, sikap dan harapan guru, kesemuanya menggalakkan masalah disiplin di kalangan pelajar-pelajar yang lemah daripada segi akademik (T. Marimuthu, 1980).

Jenis kepimpinan dan suasana sekolah mempengaruhi perkembangan personaliti remaja. Contohnya pengetua yang tegas melaksanakan disiplin pasti menegaskan kepada remaja, keadaan disiplin adalah penting bagi menjamin kejayaan pelaksanaan satu-satu tugasan Sebaliknya pengetua yang tidak tegas boleh mendatangkan kesan yang negatif pula. Ini boleh menyebabkan remaja menjadi pasif, menarik diri, takut mengambil risiko, kurang inovatif dan takut mendatangkan perubahan. Sifat-sifat kepimpinan juga terbantut perkembangannya.

Disamping itu terdapat juga guru yang melabelkan pelajar sebagai cerdik dan bodoh, pelajar yang pada mulanya berminat dan bermotivasi pasti menunjukkan minat yang bertentangan setelah dilabelkan oleh guru sebagai pemalas atau bodoh, ini boleh menjejas pencapaian pelajar dalam pelajaran (Lacey, 1970). Hal ini seterusnya menyebabkan keinginan untuk ponteng dari kelas atau sekolah, kerana semangat untuk belajar kian luntur dari diri remaja terbabit. Apabila gejala ponteng telah menyerap masuk ke dalam diri remaja, maka, pelbagai pengaruh negatif akan melanda remaja tersebut antaranya ialah penyalahgunaan dadah.

     Faktor Pengaruh Rakan Sebaya

Pada diri remaja, pengaruh lingkungan dalam menentukan perilaku diakui cukup kuat. Walaupun remaja telah mencapai tahap perkembangan kognitif yang memadai untuk menentukan tindakannya sendiri, namun penentuan diri remaja dalam berperilaku banyak dipengaruhi oleh tekanan dari kelompok teman sebaya (Conger, 1991). Kelompok teman sebaya diakui dapat mempengaruhi pertimbangan dan keputusan seorang remaja tentang perilakunya (Beyth-Marom, et al., 1993; Conger, 1991; Deaux, et al, 1993; Papalia & Olds, 2001)

Rakan sebaya mempunyai nilai-nilai tersendiri dan mempunyai pengaruh yang ketara. Rakan sebaya di sekolah dapat mempengaruhi disiplin seseorang remaja. Sekiranya nilai-nilai rakan sebaya tidak mementingkan ketekunan, tanggungjawab, kerjasama, menepati masa, menghormati guru dan mematuhi peraturan, begitulah sikap pelajar berkenaan. Sebaliknya sifat-sifat sosial positif rakan sebaya akan menghasilkan seseorang individu yang amat menekankan nilai moral dalam satu-satu masyarakat seperti sifat-sifat kepimpinan, bertimbang rasa dan bekerjasama.

Rakan sebaya juga memainkan peranan yang penting bagi membentuk konsep diri, sikap dan pandangan seseorang pada dirinya sendiri sama ada dirinya dihargai ataupun tidak di mata kumpulan masyarakat sekelilingnya.. Contohnya, cara berpakaian, hobi, aktiviti-aktiviti sosial, jenis permainan, kumpulan belajar dan sebagainya. Sekiranya kumpulan sebaya yang dipilih cenderung berbuat baik, maka remaja ini terpengaruh hendak menjalankan aktiviti yang sihat. Tetapi sekiranya kumpulan sebaya yang dipilih cenderung berbuat jahat, maka remaja ini akan cenderung melakukan aktiviti-aktivit yang negatif.

Ini kerana remaja ingin dirinya diterima oleh rakan-rakan. Dengan itu, mereka sentiasa sanggup melakukan apa sahaja supaya diterima oleh ahli kumpulannya. Remaja yang berasal daripada keluarga bermasalah lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya yang mungkin senasib dengannya dan membentuk kumpulan sendiri. Kumpulan ini mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat. Apabila rakan sebaya membentuk kumpulan yang bersifat negatif, remaja turut melakukan perkara yang sama supaya diterima oleh kumpulannya seperti meniru dalam peperiksaan, merokok dan lain-lain yang boleh menjejaskan pelajaran. Paling teruk lagi ialah pengaruh rakan sebaya ini akan mengaruh remaja terlibat dengan najis dadah.

     Faktor Masyarakat

Aspirasi, harapan dan nilai satu-satu masyarakat dapat mempengaruhi pembentukan personaliti remaja. Apabila nilai-nilai dan norma-norma masyarakat adalah sihat, remaja yang membesar dalam situasi itu turut menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab, berdedikasi, rajin berusaha dalam pelajaran dan sedia berkorban untuk menolong orang lain.

Sebaliknya, masyarakat kebendaan menegaskan betapa pentingnya kekayaan dan harta benda. Dengan itu, remaja membesar dengan menjadi individu dan remaja yang sentiasa mengejar kekayaan dan harta benda. Nilai-nilai murni ini mungkin ditinggalkan menyebabkan remaja sanggup menipu dalam peperiksaan, bergaduh, mencuri, mencederakan guru, minum arak dan tidak mustahillah sama sekali untuk terlibat dengan penagihan dadah. Keadaan ini menunjukkan dengan jelas bagaimana nilai masyarakat dapat mempengaruhi perkembangan dan personaliti remaja sehingga boleh membawa kepada masalah penyalahgunaan dadah.

     Faktor Diri Sendiri (Rasa Ingin Tahu)

Faktor lain yang membawa kepada berlakunya penagihan dadah adalah sikap remaja yang ingin mencari sesuatu yang baru atau sikap ingin tahu. Sikap ingin tahu memang wujud dalam diri remaja. Biasanya mereka gemar mencuba sesuatu yang baru. Setiap perkara yang dilarang, itulah yang ingin diteroka oleh mereka. Sebagai contohnya fenomena lumba haram, di mana mereka ingin menunjukkan belang mengecap keseronokan bersama rakan sebaya.

Selain itu juga, remaja sekarang lebih suka kepada cabaran dan mudah terikut dengan gaya, cara hidup lain daripada orang lain. Jika tidak kena pada caranya, masalah seperti hamil luar nikah mudah terjadi. Ini dapat dibuktikan daripada kenyataan akhbar Utusan Malaysia (30 September 2002) menyatakan, sikap terpedaya dan sukar mengawal nafsu dikenal pasti sebagai antara punca utama berlakunya gejala kehamilan luar nikah di kalangan remaja. Ini membuktikan, sikap remaja yang ingin mencuba sesuatu tanpa mengetahui baik dan buruknya serta akibat yang bakal diterima. Perkara sedemikian hanya mengundang pada keruntuhan akhlaknya sendiri.

Masalah jenayah seperti penyalahgunaan dadah juga adalah daripada sikap ingin tahu yang tidak kena pada tempatnya. Menurut Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ” Masalah dadah yang merupakan masalah utama, masih merupakan ancaman besar negara” (Utusan Malasyai, 2004). Ini membuktikan, betapa seriusnya masalah dadah yang kebanyakan penagihnya terdiri daripada golongan remaja.

Selain itu, remaja sering dilabelkan sebagai moodiness kerana sekiranya remaja gagal menangani gangguan emosi yang melanda, maka ia membawa pada masalah remaja seperti penyalahgunaan dadah, delinkuensi dan kecenderungan hendak membunuh diri. Menurut penterjemah buku berjudul Psikologi Pendidikan iaitu Noran Fauziah Yaakub (1991), beliau menyatakan sebab utama berlakunya delinkuensi adalah perasaan kekecewaan. Keadaan ini menunjukkan remaja yang mengalami tekanan dalam diri cenderung melakukan masalah. Mereka tidak dapat mengawal emosi dan kematangan fikiran lantas mengambil jalan mudah dengan melibatkan diri dalam pelbagai perkara negatif seperti mengambil dadah.

Menurut Dr Syed Hasan Ahmad (2004) menyatakan, ”Apabila remaja membuat andaian bahawa ibubapa cuai dalam tanggungjawab mereka dan berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam keluarga terbabit, remaja itu akan berasa marah, kecewa dan memendam perasaan.” Keadaan ini membawa pada perilaku yang tidak baik seperti vandalisme, lepak dan penyalahgunaan dadah kerana mereka ingin mengelak daripada berada di rumah. Andaian yang dibuat oleh remaja ini menjejaskan hubungan antara ahli keluarga dan sekiranya tidak diatasi pasti semakin seriuslah masalah remaja. Begitu juga dengan apa yang diperkatakan oleh pakar motivasi iaitu Rubiah Hamzah (Utusan Malaysia, 1999) iaitu sikap marah dan tidak puas hati dapat memberi kesan negatif dan positif. Kesan negatif adalah apabila seorang itu mengambil sikap berdiam diri serta memendam rasa tanpa mahu meluahkan atau menceritakan masalah yang membelenggu diri kepada orang lain.

Khamis, 21 September 2017

Faktor dan Peranan Ibu Bapa dalam Isu Gangsterisme



Kamus Dewan edisi ke 4 Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) 2010 halaman 458, gengsterisme  didefinisikan   kegiatan gengster atau kumpulan sulit dalam sesuatu kegiatan untuk maksud atau kegiatan jenayah tertentu. Menurut Trasher (1963) yang merupakan pelopor awal tentang kajian gangsterisme mengutarakan bahawa pada awal remaja golongan ini berpotensi untuk mewujudkan gang.Golongan ini mudah terdedah dengan keadaan persekitaran dengan syarat mereka dapat memperolehi keseronokan dalam kumpulan mereka.
            Thrasher (1961) juga mendefinisikan gang sebagai satu kumpulan yang mempunyai ciri-ciri seperti mengikut tingkahlaku yang sama,perjumpaan secara bersemuka,gerakan secara berunit,konflik dan mempunyai perancangan.Trasher (1963) menyatakan bahawa kewujudan gangster adalah hasil daripada perkembangan sesuatu kumpulan rakan sepermainan juvenile yang bertukar kepada pelakuan deviant.Secara evolusi kumpulan ini menjadi satu kumpulan gangster yang seringkali melakukan tindakan-tindakan ganas yang bercorak anti social.Ikatan yang pada mulanya tidak sehaluan bertukar menjadi lebih erat ditambah semangat setia kawan atau kukuh serta serta mengamalkan tradisi kumpulan.
 Image result for keluarga bahagia
            Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan berlakunya gejala sosial ini di kalangan pelajar sekolah.Punca  utama ialah kegoyahan institusi kekeluargaan juga menjadi pemangkin kepada gejala gengsterime yang melanda di nusa tercinta kita ini. Institusi keluarga porak-peranda disebabkan oleh tiada lagi persefahaman antara pasangan suami isteri. Sekiranya tiada persefahaman antara mereka sudah pasti bibit-bibit kasih sayang yang dipupuk selama ini hilang sebagai akibat daripada sikap mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan impak yang bakal mengganggui kehidupan anak-anak pada hari mendatang. Oleh itu, kes penderaan, pertengkaran dan perceraian semakin meningkat bagai bangkai gajah yang tidak dapat ditutupi dengan nyirunya lagi. Menurut kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kadar perceraian pasangan suami isteri Islam di Malaysia berlaku sekali dalam tempoh masa 15 minit. Keluarga yang porak-peranda akan lalai untuk memberikan kasih sayang mereka kepada anak-anak remaja yang sentiasa memerlukan belaian dan perhatian daripada ibu bapa mereka. Keadaan ini membimbangkan kerana akan menjejaskan perkembangan remaja dan pembentukan personaliti remaja. Maka tidak hairanlah apabila remaja sanggup terlibat dalam gejala samseng untuk menarik perhatian dan mendapatkan sekelumit kasih sayang daripada ibu bapa mereka yang semakin alpa dalam memikul tanggungjawab hakiki mereka. Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan bahawa 50 peratus remaja yang terlibat dalam gejala negatif terdiri daripada remaja yang mempunyai konflik keluarga. Izharlah bahawa kegoyahan institusi kekeluargaan turut mencetuskan fenomena gengsterisme remaja yang ingin melepaskan kemarahan mereka kepada individu yang lain bak kata peribahasa Melayu, ‘orang lain makan nangka, orang lain terkena getahnya’.
            Dalam mengejar wang dan kebendaan dalam meneruskan kelangsungan hidup.Memang tidak dinafikan ramai ibu bapa yang tidak berpeluang menghabiskan masa yang berharga semasa proses pembesaran anak-anak mereka demi memperoleh kehidupan yang lebih berkualiti. Anak-anak yang terasa diri terabai atau kurang perhatian dan kasih ini akan mula mencari tempat untuk memperoleh perhatian daripada masyarakat.Instituisi keluarga yang tidak kukuh dan porak –peranda seperti ibu-bapa suka bertengkar,sentiasa pulang dalam keadaan mabuk,kaki perempuan,suka berleter dan mengongkong anak-anak juga boleh menyumbang kearah gejala ini.Selain itu,jika ibu kurang memberi didikan agama maka mereka tidak dapat menerapkan nilai-nilai murni dan nilai-nilai agama dalam jiwa anak-anak.Anak-anak ini akan selalu berasa tidak selesa berada di rumah dan akan selalu mengalami tekanan perasaan lalu jiwa  mereka yang muda itu akan memberontak,melawan,terlibat dengan aktiviti tidak sihat sebagai salah satu cara mereka melepaskan segala tekanan yang mereka hadapi.
            Langkah-langkah yang berkesan perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk membantu sekurang-kurang mengurangkan gejala gangsterisme daripada menjadi kudis dalam masyarakat kita.Peranan dan keprihatinan ibu bapa adalah sangat penting dalam membangunkan sahsiah diri remaja.Dalam ibu bapa mengejar harta dunia dalam meneruskan kelangsungan hidup ,kepentingan anak-anak juga mesti diambil kira.Mereka ini memerlukan kasih sayang,perhatian dan didikan yang sempurna dalam menghadapi kehidupan yang mencabar ini.Ibu bapa perlu mengambil tahu apa saja aktiviti yang anak lakukan untuk menimbulkan rasa ambil berat ibu bapa dan sentiasa memberi motivasi dalam aktiviti mereka supaya aktiviti yang dilakukan benar-benar terisi dengan aktiviti yang sihat,Ibu bapa juga selalu berkomunikasi dan berinteraksi dengan anak-anak remaja supaya segala persoalan mereka dapat di selesaikan dan dari situ ibu bapa boleh mengikuti perkembangan remaja mereka dan sifat remaja  yang banyak benda baru yang mereka hendak terokai berada dilandasan yang betul.
 Image result for keluarga bahagia
            Kesimpulannya, semua pihak harus berganding bahu dalam menangani masalah ini kerana kita tidak mahu negara kita ini rosak dengan gejala-gejala sosial ini.Ini semua untuk mewujudkan generasi yang lebih berguna pada masa hadapan.Pendidikan malaysia yang menekankan modal insan dalam membentuk individu adalah disokong.Dengan adanya modal insan dalam diri remaja maka kesejahteraan dan kemakmuran negara  dapat dirasa.

Disediakan oleh, Droteh Ellin
Sumber;  http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/kes-pukul-letak-wang-sebagai-perangkap-1.67779
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/99-isu-negeri/2919-reaksi-terhadap-kes-buli-dan-gangsterisme-di-sekolah.html

Gangsterisme di Sekolah



Wujudnya fenomena semasa yang menunjukkan bertambahnya perlanggaran disiplin dan gejala salah laku dalam kalangan pelajar telah menimbulkan pelbagai pertanyaan umum tentang kesesuaian dan keberkesanan dasar dan peraturan yang digunakan untuk pengukuhan disiplin pada peringkat sekolah. Dalam konteks ini satu daripada perkara yang sering dikaitkan dengan perlanggaran disiplin dan gejala salah laku ialah kewujudan unsur gengsterisme dan aktiviti kumpulan samseng di sekolah. Hari ini kes pelajar terlibat dengan kegiatan jenayah dianggap sebagai fenomena biasa. Berita salah laku dan penglibatan dalam kegiatan jenayah bukan lagi bahan panas untuk diperkatakan. Apabila masyarakat telah jemu memperkatakannya isu itu akan hilang begitu sahaja seperti isu-isu lain yang dianggap kontroversi, tetapi yang menanggung kesannya ialah ibu bapa dan pihak sekolah. Pelbagai teori dan andaian telah dikaitkan dengan kewujudan kumpulan samseng ini, antaranya pengaruh media massa, pengaruh perbandaran atau urbanisasi yang semakin cepat menular di kawasan luar bandar, pengaruh metarialisme yang semakin meningkat, fahaman kebebasan individu untuk perlu dihormati, pengaruh rakan sebaya, krisis nilai, ceteknya pengayatan agama dalam diri individu, kurangnya perhatian dan bimbingan ibu bapa terhadap anak-anak di rumah dan lain-lain lagi.

 Image result for gangster di sekolah
            Perlanggaran displin dan perbuatan salah laku dalam kalangan pelajar bukan sahaja berlaku secara meluas  di kawasan bandar dan pinggir bandar tetapi kini menular juga di sekolah-sekolah luar bandar termasuk di kawasan-kawasan  Felda, Felcra serta kawasan-kawasan perkampungan. Senario ini menunjukkan ‘trend’ perlanggaran disiplin dalam kalangan pelajar meningkat secara mendadak dan membimbangkan walaupun bilangan pelajar yang terlibat masih terlalu kecil. Dalam masa yang sama juga kes penglibatan pelajar-pelajar perempuan semakin bertambah.
 Image result for gangster di sekolah
            Isu gengsterisme ini merupakan satu perkara yang amat mencabar kesabaran dan kecekalan pihak pengurusan sekolah, kebolehan guru dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran, kebolehan kaunseling dan pengawalan oleh guru-guru disiplin sekolah. Masalah ini merupakan suatu isu dari perspektif pendidikan yang perlu diselesaikan segera secara menyeluruh. Dalam konteks negara, gejala ini merupakan suatu jenayah yang mencabar pihak polis untuk membendungnya.

            Banyak faktor yang menjurus kepada isu gensterisme di sekolah. Namun di sebalik faktor-faktor tersebut ada satu faktor utama yang menjadi kunci kepada faktor-faktor yang lain. Faktor utama tersebut ialah kurangnya bimbingan dan asuhan agama oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka di rumah. Masalah ini bukan sahaja terbatas kepada pelajar-pelajar Muslim sahaja, bahkan melibatkan pelajar-pelajar bukan Muslim. Di sebabkan kekurangan asuhan dan bimbingan di  rumah, maka anak-anak kurang mempunyai daya tahan dalam menghadapi cabaran dan rintangan hidup. Mereka mudah terpengaruh oleh persekitaran, rakan sebaya, media massa, internet, gaya hidup yang mengejar keseronokan dan hiburan, materialistik dan sebagainya. Keadaan ini akhirnya menjurus kepada pelbagai gejala jenayah dan salah laku. Di sekolah , kewujudan kumpulan-kumpulan samseng atau gengster yang sering melakukan jenayah  telah mengganggu ketenteraman dan mencemar iklim persekolahan. Sehingga kini gengsterisme menjadi isu hangat yang perlu ditangani segera.

            Faktor agama dan moral berkait rapat antara satu sama lain dalam membentuk kepribadian dan akhlak serta moral yang tinggi dalam kalangan remaja. Kewujudan suatu kod moral ialah sifat penting bagi semua agama yang utama di dunia. Dalam agama-agama seperti Islam, Kristian, Hindu, nilai-nilai agama terjalin begitu kuat sehingga perbezaan  antara mereka menjadi tidak ketara dan tidak penting. Pendek kata agama dapat memainkan peranan dalam pembentukan akhlak yang baik dan mempengaruhi kelakuan akhlak seseorang individu. (W.P.Yong, 1989) Oleh yang demikian penekanan kepada pendidikan agama amat penting untuk membentuk individu yang seimbang sekali gus menjauhkan diri daripada terlibat dengan aktiviti gengsterisme.

            Hubungan yang rapat antara pihak sekolah dengan ibu bapa, dan antara guru dengan pelajar adalah penting. Guru perlu mendekati pelajar secara peribadi dan memahami masalah yang dihadapi oleh seseorang pelajar tersebut. Dengan cara ini pelajar berasakan mereka dihargai dan pihak sekolah sentiasa mengambil berat terhadap kepentingan mereka. Oleh yang demikian pelajar yang bermasalah tidak segan untuk berbincang dengan guru mereka berkenaan masalah yang dihadapi. Keadaan ini mengelakkan pelajar daripada melepaskan tekanan permasalahan mereka dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh menjejaskan ketenteraman awam seperti salah laku jenayah dan gengsterisme.

Di sekolah pula penguatkuasaan disiplin perlulah tegas dan berterusan. Usaha yang berterusan perlu dilakukan termasuk  mengukuhkan, memperjelas dan menentukan kebolehgunaan surat-surat peraturan dan pekeliling yang berkaitan sejajar dengan perubahan-perubahan persekitaran dan masa. Sistem pengurusan disiplin di sekolah juga perlu berkesan dan ini meliputi rekod individu pelajar, rekod pelanggaran disiplin serta hukuman dan ganjaran.

Kemunculan kumpulan gengsterisme di sekolah telah membimbangkan semua pihak. Gejala ini  merupakan isu yang memerlukan penyelesaian segera. Aktiviti-aktiviti kumpulan ini telah mengeruhkan iklim sekolah dan seterusnya memberi kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Penglibatan semua pihak adalah penting dalam menangani isu ini supaya gejala gengsterisme dapat dikawal dan  dibasmi daripada berlarutan. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membimbing dan mengasuh anak-anak mereka di rumah sebelum mereka dihantar ke sekolah atau keluar dari rumah agar mereka mempunyai ketahanan iman dan mental dalam menghadapi cabaran dan rintangan arus perdana globalisasi. Ketahanan iman pada diri anak-anak ini akhirnya akan melahirkan pelajar yang bersih daripada pelbagai gejala dan salah laku jenayah seterusnya mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita.

Disediakan oleh , Droteh Ellin
Sumber ;https://www.rmp.gov.my/news-detail/2017/07/19/gengsterisme-di-sekolah-7-samseng-%27kecil-kecil-cili-padi%27-ditahan-di-johor
 http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/99-isu-negeri/2919-reaksi-terhadap-kes-buli-dan-gangsterisme-di-sekolah.html
 

Isu Buli: Bagaimana Pendidikan Moral Dapat Mengatasi Masalah Buli di Sekolah

  Bagaimana Pendidikan Moral Dapat Mengatasi Kes Buli di Sekolah Pendidikan Moral dapat mengatasi masalah buli kerana dalam p...