BAGAIMANA REMAJA BOLEH TERJEBAK DENGAN PENYALAHGUNAAN DADAH
Terdapat
pelbagai perkara yang boleh menyebabkan remaja terlibat dengan penyalahgunaan
dadah. Faktor yang paling utama ialah kurangnya peranan ibubapa, masalah
keluarga, faktor diri sendiri dan pengaruh rakan sebaya. Faktor-faktor lain
pula seperti sekolah dan masyarakat.
Faktor Kurangnya Peranan Ibu Bapa
Sering kali dinyatakan ibu
bapa mempengaruhi kejayaan remaja khasnya pelajar di dalam pelajaran. Ini
kerana ibu bapa yang sentiasa memberi galakan dan perangsang sehingga mereka
timbul minat, semangat ketekunan dan keyakinan diri dalam menghadapi pelajaran
(Jamal Darus, 1989). Ibu bapa juga yang menentukan pola-pola tingkah laku
remaja. Faktor-faktor seperti dorongan
dan galakkan, disiplin di rumah, hubungan mesra antara ibu bapa dan anak serta
keluarga yang utuh memberi kesan ke atas pembentukkan personaliti, motivasi dan
pencapaian akademik remaja yang masih bergelar pelajar. Ibu bapa yang sentiasa
memberi dorongan dan bantuan dikaitkan dengan kejayaan yang tinggi (T.
Marimuthu, 1990). Disiplin yang berterusan dan hubungan baik antara ibu bapa
dengan remaja meningkatkan motivasi kejayaan di dalam pelajaran.
Dalam
kajian ke atas 408 orang kanak-kanak, pengkaji mendapati keadaan di rumah
adalah lebih cepat dikaitkan dengan kemajuan sekolah daripada kecerdasan.
Sungguhpun begitu, kedua-duanya mempunyai hubungan signifikan (Ibid; 1990).
Dengan ini jelaslah betapa penting dan besarnya peranan ibu bapa dalam
membentuk, mendidik dan mengasuh anak-anak. Dengan kata lain, keutuhan
institusi kekeluargaan dapat menjamin kecemerlangan remaja khususnya dalam alam
pendidikan dan perkembangan personaliti.
Ibu
bapa khususnya, adalah salah satu faktor persekitaran yang banyak mempengaruhi
pembentukan dan perkembangan personaliti atau sahsiah remaja. Ini kerana, ibu
bapa menjadi sumber utama dan pertama proses pembelajaran dan pembentukan
keperibadian remaja. Hakikat ini jelas dinyatakan oleh bapa psikologi moden,
Freud (1983). Oleh itu, ibu bapa yang tidak memainkan peranan dalam pembentukan
tingkah laku remaja menyebabkan berlakunya kemunduran pembentukan dan
perkembangan personaliti atau sahsiah remaja tersebut.
Cara
gaya keibubapaan atau cara asuhan dipercayai banyak mempengaruhi personaliti remaja
khususnya pelajar sama ada di dalam kelas mahupun di luar kelas. Contohnya, ibu
bapa yang mengamalkan cara gaya asuhan yang bersifat autokratik dipercayai
menyebabkan lahirnya personaliti yang terlalu agresif, memberontak ataupun
sebaliknya iaitu melahirkan individu pesimis. Remaja yang bersifat agresif dan
memberontak kebiasaannya lebih gemar menghabiskan masanya di luar rumah kerana
berasa terkongkong berada di dalam rumah. Maka, dari sini bermulalah
pengaruh-pengaruh luar yang negatif seperti pengaruh kawan-kawan yang devian,
rasa ingin kebebasan seterusnya menyebabkan punca berjinak-jinak dengan najis
dadah.
Remaja daripada keluarga
yang berpecah belah atau yang ketiadaan ibu bapa atau kedua-duanya mengalami
kehilangan tempat bergantung, tempat menumpahkan kasih sayang serta tempat
menerima contoh dan teladan untuk menjadi bekal penghidupan di hari dewasa
sebagai ahli masyarakat yang lebih aktif dan dinamis. Keadaan seperti ini boleh
menjejaskan perkembangan remaja terutamanya dalam pencapaian akademik serta
proses pembentukan personaliti. Ini bersesuaian dengan salah satu keperluan
iaitu keperluan termilik dan kasih sayang (Maslow, 1954). Menurut Maslow,
kekurangan perhubungan kasih sayang menjadi punca kecelaruan personaliti yang
mungkin melibatkan tingkah laku agresif dan anti sosial.
Sebagai
contohnya, remaja daripada keluarga yang ibubapanya bercerai mempunyai IQ yang
lebih rendah di samping melahirkan ciri-ciri tingkah laku yang negatif seperti
permusuhan, zalim dan tiada kasih sayang (Goldfarb: Petikan Wan Azmi, 1987).
Krisis keluarga seperti penceraian dan pertengkaran ibu bapa juga boleh
menyebabkan remaja kehilangan obor panduan hidup. Maka, lahirlah personaliti remaja
yang tidak sihat dan lemah pencapaian akademiknya. Seterusnya menyumbang kepada
pelbagai gejala negatif termasuklah penagihan dadah.
Kedudukan
kewangan sesebuah keluarga menentukan jenis-jenis kemudahan yang dapat
disediakan untuk anak-anak. Keluarga yang berada mampu menyediakan bahan-bahan
pengajaran tambahan seperti komputer, tutor bimbingan, alat permainan (raket,
tenis, skuasy, alat muzik seperti piano, organ elektrik) dan sebagainya. Dengan
kemudahan ini anak-anak mendapat pendedahan yang begitu luas. Seseorang remaja
yang memperoleh pencapaian akademik yang baik serta dapat bermain pelbagai
permainan dan alat muzik, memang mempunyai aras keyakinan diri yang tinggi. Sebaliknya,
remaja daripada keluarga yang miskin mengalami pelbagai jenis masalah seperti
ketiadaan tempat khas hendak belajar ataupun ketiadaan tutor ataupun buku
panduan tambahan. Walaupun remaja itu mungkin hendak menyertai permainan tenis
ataupun skuasy, mereka menghadapi masalah hendak membeli raket berkenaan.
Perkembangan personaliti remaja berkenaan turut terjejas dan mempengaruhi
proses pembelajarannya. Hal ini, jika tidak dibimbing dengan baik akan membawa
kepada hilangnya minat belajar, ponteng kelas atau sekolah seterusnya membawa
kepada masalah yang lebih serius seperti menghidu gam, mencuri, dan menagih
dadah.
Faktor Pengaruh Sekolah
Remaja menghabiskan hampir
seluruh masanya di sekolah. Pengaruh sekolah adalah kedua pentingnya berbanding
dengan pengaruh keluarga. Organisasi dan struktur belajar di sekolah seperti
pengagihan pelajar mengikut pencapaian, pihak berkuasa yang menekankan
peperiksaan, bentuk, struktur ganjaran dan hukuman, sikap dan harapan guru,
kesemuanya menggalakkan masalah disiplin di kalangan pelajar-pelajar yang lemah
daripada segi akademik (T. Marimuthu, 1980).
Jenis
kepimpinan dan suasana sekolah mempengaruhi perkembangan personaliti remaja.
Contohnya pengetua yang tegas melaksanakan disiplin pasti menegaskan kepada remaja,
keadaan disiplin adalah penting bagi menjamin kejayaan pelaksanaan satu-satu
tugasan Sebaliknya pengetua yang tidak tegas boleh mendatangkan kesan yang
negatif pula. Ini boleh menyebabkan remaja menjadi pasif, menarik diri, takut
mengambil risiko, kurang inovatif dan takut mendatangkan perubahan. Sifat-sifat
kepimpinan juga terbantut perkembangannya.
Disamping
itu terdapat juga guru yang melabelkan pelajar sebagai cerdik dan bodoh, pelajar
yang pada mulanya berminat dan bermotivasi pasti menunjukkan minat yang
bertentangan setelah dilabelkan oleh guru sebagai pemalas atau bodoh, ini boleh
menjejas pencapaian pelajar dalam pelajaran (Lacey, 1970). Hal ini seterusnya
menyebabkan keinginan untuk ponteng dari kelas atau sekolah, kerana semangat
untuk belajar kian luntur dari diri remaja terbabit. Apabila gejala ponteng
telah menyerap masuk ke dalam diri remaja, maka, pelbagai pengaruh negatif akan
melanda remaja tersebut antaranya ialah penyalahgunaan dadah.
Faktor Pengaruh Rakan Sebaya
Pada diri remaja, pengaruh
lingkungan dalam menentukan perilaku diakui cukup kuat. Walaupun remaja telah
mencapai tahap perkembangan kognitif yang memadai untuk menentukan tindakannya
sendiri, namun penentuan diri remaja dalam berperilaku banyak dipengaruhi oleh
tekanan dari kelompok teman sebaya (Conger, 1991). Kelompok teman sebaya diakui
dapat mempengaruhi pertimbangan dan keputusan seorang remaja tentang
perilakunya (Beyth-Marom, et al., 1993; Conger, 1991; Deaux, et al, 1993;
Papalia & Olds, 2001)
Rakan
sebaya mempunyai nilai-nilai tersendiri dan mempunyai pengaruh yang ketara.
Rakan sebaya di sekolah dapat mempengaruhi disiplin seseorang remaja. Sekiranya
nilai-nilai rakan sebaya tidak mementingkan ketekunan, tanggungjawab,
kerjasama, menepati masa, menghormati guru dan mematuhi peraturan, begitulah
sikap pelajar berkenaan. Sebaliknya sifat-sifat sosial positif rakan sebaya akan
menghasilkan seseorang individu yang amat menekankan nilai moral dalam
satu-satu masyarakat seperti sifat-sifat kepimpinan, bertimbang rasa dan
bekerjasama.
Rakan
sebaya juga memainkan peranan yang penting bagi membentuk konsep diri, sikap
dan pandangan seseorang pada dirinya sendiri sama ada dirinya dihargai ataupun
tidak di mata kumpulan masyarakat sekelilingnya.. Contohnya, cara berpakaian,
hobi, aktiviti-aktiviti sosial, jenis permainan, kumpulan belajar dan
sebagainya. Sekiranya kumpulan sebaya yang dipilih cenderung berbuat baik, maka
remaja ini terpengaruh hendak menjalankan aktiviti yang sihat. Tetapi sekiranya
kumpulan sebaya yang dipilih cenderung berbuat jahat, maka remaja ini akan
cenderung melakukan aktiviti-aktivit yang negatif.
Ini
kerana remaja ingin dirinya diterima oleh rakan-rakan. Dengan itu, mereka
sentiasa sanggup melakukan apa sahaja supaya diterima oleh ahli kumpulannya.
Remaja yang berasal daripada keluarga bermasalah lebih mudah dipengaruhi oleh
rakan sebaya yang mungkin senasib dengannya dan membentuk kumpulan sendiri.
Kumpulan ini mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat. Apabila rakan sebaya
membentuk kumpulan yang bersifat negatif, remaja turut melakukan perkara yang
sama supaya diterima oleh kumpulannya seperti meniru dalam peperiksaan, merokok
dan lain-lain yang boleh menjejaskan pelajaran. Paling teruk lagi ialah
pengaruh rakan sebaya ini akan mengaruh remaja terlibat dengan najis dadah.
Faktor Masyarakat
Aspirasi, harapan dan
nilai satu-satu masyarakat dapat mempengaruhi pembentukan personaliti remaja.
Apabila nilai-nilai dan norma-norma masyarakat adalah sihat, remaja yang
membesar dalam situasi itu turut menjadi anggota masyarakat yang
bertanggungjawab, berdedikasi, rajin berusaha dalam pelajaran dan sedia
berkorban untuk menolong orang lain.
Sebaliknya,
masyarakat kebendaan menegaskan betapa pentingnya kekayaan dan harta benda.
Dengan itu, remaja membesar dengan menjadi individu dan remaja yang sentiasa
mengejar kekayaan dan harta benda. Nilai-nilai murni ini mungkin ditinggalkan
menyebabkan remaja sanggup menipu dalam peperiksaan, bergaduh, mencuri,
mencederakan guru, minum arak dan tidak mustahillah sama sekali untuk terlibat
dengan penagihan dadah. Keadaan ini menunjukkan dengan jelas bagaimana nilai
masyarakat dapat mempengaruhi perkembangan dan personaliti remaja sehingga
boleh membawa kepada masalah penyalahgunaan dadah.
Faktor Diri Sendiri (Rasa Ingin Tahu)
Faktor lain yang membawa
kepada berlakunya penagihan dadah adalah sikap remaja yang ingin mencari
sesuatu yang baru atau sikap ingin tahu. Sikap ingin tahu memang wujud dalam
diri remaja. Biasanya mereka gemar mencuba sesuatu yang baru. Setiap perkara
yang dilarang, itulah yang ingin diteroka oleh mereka. Sebagai contohnya
fenomena lumba haram, di mana mereka ingin menunjukkan belang mengecap keseronokan
bersama rakan sebaya.
Selain
itu juga, remaja sekarang lebih suka kepada cabaran dan mudah terikut dengan
gaya, cara hidup lain daripada orang lain. Jika tidak kena pada caranya,
masalah seperti hamil luar nikah mudah terjadi. Ini dapat dibuktikan daripada
kenyataan akhbar Utusan Malaysia (30 September 2002) menyatakan, sikap
terpedaya dan sukar mengawal nafsu dikenal pasti sebagai antara punca utama
berlakunya gejala kehamilan luar nikah di kalangan remaja. Ini membuktikan,
sikap remaja yang ingin mencuba sesuatu tanpa mengetahui baik dan buruknya serta
akibat yang bakal diterima. Perkara sedemikian hanya mengundang pada keruntuhan
akhlaknya sendiri.
Masalah
jenayah seperti penyalahgunaan dadah juga adalah daripada sikap ingin tahu yang
tidak kena pada tempatnya. Menurut Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ” Masalah
dadah yang merupakan masalah utama, masih merupakan ancaman besar negara”
(Utusan Malasyai, 2004). Ini membuktikan, betapa seriusnya masalah dadah yang
kebanyakan penagihnya terdiri daripada golongan remaja.
Selain
itu, remaja sering dilabelkan sebagai moodiness kerana sekiranya remaja
gagal menangani gangguan emosi yang melanda, maka ia membawa pada masalah
remaja seperti penyalahgunaan dadah, delinkuensi dan kecenderungan
hendak membunuh diri. Menurut penterjemah buku berjudul Psikologi Pendidikan
iaitu Noran Fauziah Yaakub (1991), beliau menyatakan sebab utama berlakunya
delinkuensi adalah perasaan kekecewaan. Keadaan ini menunjukkan remaja yang
mengalami tekanan dalam diri cenderung melakukan masalah. Mereka tidak dapat
mengawal emosi dan kematangan fikiran lantas mengambil jalan mudah dengan
melibatkan diri dalam pelbagai perkara negatif seperti mengambil dadah.
Menurut
Dr Syed Hasan Ahmad (2004) menyatakan, ”Apabila remaja membuat andaian bahawa
ibubapa cuai dalam tanggungjawab mereka dan berlaku sesuatu yang tidak diingini
dalam keluarga terbabit, remaja itu akan berasa marah, kecewa dan memendam
perasaan.” Keadaan ini membawa pada perilaku yang tidak baik seperti
vandalisme, lepak dan penyalahgunaan dadah kerana mereka ingin mengelak
daripada berada di rumah. Andaian yang dibuat oleh remaja ini menjejaskan
hubungan antara ahli keluarga dan sekiranya tidak diatasi pasti semakin
seriuslah masalah remaja. Begitu juga dengan apa yang diperkatakan oleh pakar
motivasi iaitu Rubiah Hamzah (Utusan Malaysia, 1999) iaitu sikap marah dan
tidak puas hati dapat memberi kesan negatif dan positif. Kesan negatif adalah
apabila seorang itu mengambil sikap berdiam diri serta memendam rasa tanpa mahu
meluahkan atau menceritakan masalah yang membelenggu diri kepada orang lain.
-Ritah Majip-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan