JOHOR BAHRU: Pihak sekolah diingatkan tidak menyembunyikan
kegiatan gangsterisme di sekolah hanya untuk menjaga nama baik sekolah sehingga
boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan lambat dijalankan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed,
berkata gangsterisme di sekolah bukan kegiatan baru tetapi kini isu itu menjadi
semakin canggih apabila turut menimbulkan kegiatan jenayah lain termasuk
membabitkan wang.
"Jangan sembunyi (kes). Pihak sekolah perlu berterus
terang kegiatan gangsterisme di sekolah mereka supaya kita dapat ambil
tindakan.
"Pihak sekolah kena bagi maklumat kepada polis kerana
langkah penguatkuasaan di bawah (kuasa) polis. Kalau pihak sekolah tidak
melaporkan apa-apa kegiatan gangsterisme dengan cepat, maka tindakan diambil
oleh polis juga akan lambat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah program
Amerin Rotary Charity Carnival 2017, di sini hari ini.
Pada masa sama Nur Jazlan berkata, hubungan erat antara
pihak pengurusan sekolah dengan polis setempat juga penting bagi memudahkan
maklumat dan langkah pencegahan dijalankan.
Semalam, polis Selangor mengesahkan menahan sembilan lagi
pelajar di beberapa sekolah di Klang kerana dipercayai menganggotai kumpulan
kongsi gelap Geng 24.
Penahanan pelajar Tingkatan Lima, Tingkatan Empat dan
Tingkatan Tiga di sekitar Klang itu susulan penahanan 13 pelajar oleh Pasukan
Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) sebelum itu kerana dipercayai menyertai
kumpulan kongsi gelap Geng 24.
Setakat ini polis masih menyiasat melihat sejauh mana
pembabitan mereka dengan kumpulan kongsi gelap itu.
Disediakan oleh , DIYANA ELLIN
SUMBER ; https://www.bharian.com.my/node/274932
Tiada ulasan:
Catat Ulasan