Rabu, 23 Ogos 2017

Rempit dan Lumba Haram

Mat Rempit dan Lumba Haram Sering Berkait

Lumba Haram dan Rempit ( sumber : http://www.kedahnews.com/2015/09/perlu-pendekatan-lebih-berkesan-tangani.html )

       Dewasa ini, semakin hari semakin banyak kes-kes rempit dan perlumbaan haram telah dipaparkan di kaca televisyen . Masalah sosial dan moral kali ini dipelopori anak-anak muda lelaki seawal usia 14 tahun. Mat Rempit dan perlumbaan haram sering berkait rapat . Ini kerana istilah perlumbaan haram membawa maksud suatu perlumbaan yang melibatkan kenderaan bermotor di atas jalan raya awam tanpa kebenaran dari pihak berkuasa ataupun dianjurkan tanpa penganjur yang sah manakala mat rempit pula bermaksud penunggang yang terlibat dalam perlumbaan haram tersebut. Mat rempit lebih dikenali sebagai penunggang motor yang terlibat dalam pelbagai lumba haram dan sering kali dikaitkan bersama minah rempit. Perlumbaan haram melibatkan pelbagai jenis kenderaan tetapi motor merupakan kenderaan yang paling biasa digunakan di Malaysia .

Dapatan kajian bilangan dan peratusan umur mereka yang terlibat dalam kegiatan lumba haram dan rempit (sumber : Rozmi dan Norhayati, 2007)

           Lumba haram bukan sahaja menjadi satu masalah moral di kalangan remaja ataupun pelajar sekolah, malahan merupakan satu masalah moral tempatan yang serius bagi negara kita. Perlumbaan haram selalunya dijalankan pada waktu lewat malam dan bandar-bandar besar.Terdapat juga sekumpulan mat-mat rempit yang memang sedia wujud di kawasan-kawasan kampung , dan seterusnya terlibat dengan perlumbaan haram apabila berhijrah ke kawasan bandar. Kadang kala, aktiviti ini juga dilakukan ketika ramai pengguna lain yang masih ada di jalan raya sehingga menyebabkan  banyak masalah serta menyusahkan pengguna jalan raya yang lain. Mat-mat rempit dan minah-minah  rempit yang terlibat pula tidak menghiraukan langsung keselamatan pengguna awam yang lain dan sering membuli pengguna lain yang menegur mereka.

Di bawah merupakan statistik saman untuk lumba haram yang dikeluarkan di Pahang pada tahun 2015 :


Tempat

Jumlah Saman

Kuantan

3454

Temerloh

2552

Bera

2111

Maran

1885

Bentong

1556

Raub

1302

Lipis

1211

Pekan

886

Jerantut

716

Cameron Highlands

536

Rompin

454


Punca-punca Lumba Haram dan Rempit


          Antara punca yang menyebabkan rempit adalah sifat ingin mencuba. Anak-anak muda berdarah muda sememangnya cenderung untuk mencuba perkara-perkara baru terutamnya perkara yang mencabar keberanian mereka. Filem-filem ganas yang ditonton mendorong kepada sifat ingin mencuba sendiri lumba haram seperti yang mereka lihat dalam filem tersebut.  Pengaruh rakan sebaya juga tidak kurang besarnya peranan dalam masalah sosial ini. Remaja lebih senang meluangkan masa bersama rakan sebaya  dan mereka akan lebih mudah terpengaruh sekiranya mereka tersalah pilih rakan. 

          Sesetengah remaja juga terikut-ikut dengan aktiviti lumba haram dan rempit kerana ingin melepaskan rasa marah terhadap keluarga yang kurang memberikan perhatian ataupun suasana rumah yang tidak aman. Segelintir pula melakukan aktiviti itu hanya untuk suka-suka. Beberapa lumba haram pula menyediakan wang, perempuan, dadah dan lain-lain sebagai habuan dan ini semestinya menarik minat pelbagai lapisan umur generasi muda.  Mat Rempit juga menyediakan peluang bagi seseorang itu membuktikan nilai diri, kelelakian dan keseronokan mudah dengan perlumbaan haram lebih-lebih lagi apabila melawan penguatkuasa undang-undang  (Rozmi Ismail, 2004), oleh itu mereka lebih berkobar-kobar untuk mengikuti aktiviti yang tidak berfaedah itu.

Lumba haram kereta di Ipoh (sumber : ipoh ipoh http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/154-kereta-ditahan-1.449682 )
Usaha Menangani Kegiatan Ini

         Usaha dalam menangani masalah ini sudah dibuat sejak dahulu lagi dan tidak pernah dihentikan. Pelbagai usaha dilakukan agar aktiviti seperti ini dapat dibanteras kerana lumba haram dan merempit hanya akan menjurus kepada jenayah yang lebih berat lagi sekiranya tidak dibendung. Antara usaha yang dapat dilihat adalah kempen-kempen untuk memandu atau menunggang dengan berhemah yang dilakukan di seluruh negara sama ada di sekolah ataupun di tempat awam serta melalui media massa.

          Pihak berkuasa juga sering melakukan sekatan jalan raya di kawasan-kawasan panas yang sering dijadikan litar berlumba. Terdapat juga undang-undang yang akan menghukum mereka yang terbabit dalam kesalahan ini, namun ada kemungkinan juga mat-mat rempit dan pelumba haram tidak gentar kerana mereka memandang ringan dengan undang-undang yang sedia ada dan menganggap hukuman itu ringan dan tidak menyusahkan mereka. Contohnya, elumba haram yang ditahan hanya akan didakwa di bawah peruntukan undang-undang trafik dibawah kanun keseksaan perkara 279 iaitu memandu dengan melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain. Sekiranya mereka disabitkan kesalahan, mereka boleh diberi denda RM 5000 hingga 15000 dan/atau dihukum penjara mandatori sekurang-kurangnya sehari tetapi tidak lebih dari pada lima tahun .

           Menurut bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor (Utusan Online, 2015) berkata, hukuman sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 boleh ditambah baik dengan memperkenalkan elemen-elemen pencegahan seperti membatalkan lesen dan tidak membenarkan mereka yang terlibat dengan kes lumba haram daripada memohon lesen yang baru. Undang-undang yang sedia ada perlu ditambahbaik kerana lumba haram kini semakin banyak kes yang melibatkan keselamatan pengguna awam yang lain. Ini disebabkan pelumba haram dan mat-mat rempit semakin berani mencabar pihak berkuasa dan tidak menghiraukan keselamatan orang lain.

Pelumba haram ditahan ( sumber : https://www.rmp.gov.my/news-detail/2015/05/18/30-remaja-terlibat-lumba-haram-di-kedah-ditahan)

         Kesimpulannya, kita perlu berusaha bersama-sama untuk membanteras kegiatan ini daripada berterusan. Ibu bapa perlu memberikan perhatian yang lebih kepada anak-anak dan mendidik mereka agar tidak mudah terjerumus dalam masalah ini. Pihak berkuasa perlu melaksanakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah berulang agar mereka tahu akan kesannya terlibat dalam aktiviti yang tidak berfaedah malahan berbahaya ini. Tidak mudah untuk menghalang daripada masalah ini terus berlaku namun, usaha yang berterusan pasti membawa sinar harapan kepada semua orang.  Selagi kita masih punya TEKAD untuk melakukan sesuatu, maka belum TERLAMBAT untuk membanteras jenayah ini daripada berlanjutan. 

-Siti Hatiza-

Sumber dan Rujukan :

Bernama. (2015, November 16). Lumba haram: 16,662 saman dikeluarkan di Pahang. Didapatkan Mac 18, 2017, daripada Telus dan Tulus Sinar Online: http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/lumba-haram-16-662-saman-dikeluarkan-di-pahang-1.452333

Rozmi Ismail. 2004. Gejala perlumbaan haram di kalangan Remaja; Satu Kajian Memahami faktor penglibatan dan jenis personaliti pelumba, dalam Prosiding Seminar Kebangsaan ke3 Psikologi dan Masyarakat: Gejala Sosial dalam Masyarakat.  1-36

Rozmi Ismail dan Norhayati Ibrahim. 2007. Faktor-faktor Mempengaruhi Keterlibatan Remaja Dalam Perlumbaan Motorsikal Haram dan Hubungannya dengan Jenis Personaliti, Sokongan Sosial, dan Coping Skill . 1-35

Utusan Online. (2015, Mei 06). Hukuman lebih berat lumba haram. Didapatkan daripada http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/hukuman-lebih-berat-pelumba-haram-1.88401





1 ulasan:

Isu Buli: Bagaimana Pendidikan Moral Dapat Mengatasi Masalah Buli di Sekolah

  Bagaimana Pendidikan Moral Dapat Mengatasi Kes Buli di Sekolah Pendidikan Moral dapat mengatasi masalah buli kerana dalam p...