Marcapada ini, negara kita telah berkembang
pesat sama ada dari segi ekonomi, sosial ataupun politik dalam menongkah arus
modenisasi dan globalisasi. Kini, nama Malaysia begitu tersohor di pentas
dunia. Sebagai rakyat Malaysia,
kita haruslah berbangga dengan kejayaan yang telah ditempa oleh rakyat Malaysia
di peringkat dunia. Namun begitu, di sebalik kegemilangan ini, masyarakat Malaysia
masih dihantui satu penyakit sosial yang sudah lama bersarang dalam kalangan
masyarakat kita, iaitu masalah pembuangan bayi. Persoalannya, apakah faktor
pencetus utama masalah ini kerana ada asap ada apinya? Mengapakah hal ini boleh
berlaku?
Dalam hal ini, kita tidak boleh menafikan
bahawa kekurangan didikan agama merupakan antara sebab utama kes pembuangan
bayi berlaku. Biasanya golongan remaja yang merupakan golongan yang terlibat
dalam kes pembuangan bayi. Kekurangan didikan agama yang merupakan panduan dan
pedoman hidup menyebabkan mereka hilang haluan dalam kehidupan lalu terlibat
dalam gejala negatif, antaranya ialah pergaulan bebas. Remaja yang terlibat
dalam pergaulan bebas akan menjalinkan hubungan di luar tabii. Hal ini
menyebabkan remaja perempuan mengandung sebelum berkahwin. Dalam situasi
tersebut, remaja yang hilang pegangan agama akan menjadi tidak
berperikemanusiaan lalu meninggalkan anak yang baru dilahirkan di tempat-tempat
seperti tandas awam, tong sampah, tepi longkang dan sebagainya.
Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga
menyebabkan masalah kes pembuangan bayi berlaku. Hal ini dikatakan demikian
kerana pada usia muda, remaja amat mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya mereka.
Hal ini bertambah teruk apabila mereka hergaul dengan rakan sebaya yang
negatif. Rakan-rakan yang negatif ini akan mengajak remaja untuk melakukan perkara
di luar batasan agama dan norma maysarakat, tamsilnya pergi ke tempat hiburan
seperti disko, menghisap dadah dan melakukan pergaulan bebas. Remaja yang
terjerumus dalam kancah-kancah negatif tersebut akan melakukan seks rambang dan
akhirnya menemui jalan buntu apabila mendapati bahawa dirinya mengandung. Dalam
keadaan yang terdesak, mereka terpaksa membuangkan bayi mereka.
Sehubungan dengan itu, sikap masyarakat yang
suka mengkritik dan menghukum turut menyebabkan masalah sosial ini berlaku.
Apabila seseorang remaja perempuan melahirkan anak luar nikah, sudah pastinya
masyarakat setempat menghina dan memandang ringan padanya. Secara tidak
langsung, remaja perempuan itu juga akan dianggap menjatuhkan maruah
keluarganya. Demi menjaga imej sendiri dan juga keluarga, remaja tersebut akan
mengambil jalan mudah dengan membuangkan bayinya daripada dipandang jijik oleh
masyarakat.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai faktor yang
menyebabkan kes pembuangan bayi berlaku. Masalah ini seharusnya diketengahkan
dan diselesaikan dengan menjalankan langkah-langah yang efektif sebelum
keadaannya menjadi lebih teruk lalu menggugat masa depan negara. Dalam hal ini,
semua pihak haruslah bekerjasama dan menggembleng tenaga untuk menyelesaikan
masalah ini kerana bak kata peribahasa Melayu, “bulat air kerana pembetung,
bulat manusia kerana muafakat”.
-Ritah Majip-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan