Rabu, 2 Ogos 2017

Ponteng Sekolah

Cubaan pelajar SMK Chung Hua di Miri Sarawak untuk ponteng dengan memanjat tembok pagar sekolah (sumber : http://sabahup2date.blogspot.my )


    Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Kedua , ponteng membawa maksud, meninggal tugas (tanggungjawab, pelajaran dan lain-lain) tanpa kebenaran. Anak-anak muda yang ponteng sekolah telah meninggalkan tanggungjawab mereka untuk hadir ke sekolah tanpa sebarang sebab yang kukuh dan tanpa kebenaran penjaga sah mereka.  Kebanyakan pelajar mengambil mudah hal ini, kerana mereka berpendapat bahawa mereka hanya perlu memenuhi had minimum kehadiran ke sekolah serta memandang remeh terhadap kesan-kesan negative yang mereka akan dapat apabila kerap ponteng sekolah.

    Gejala moral ini menjadi kebiasaan dalam kalangan pelajar terutamanya pelajar-pelajar yang nakal dan mempunyai masalah disiplin. Isu ini sentiasa wujud di sekolah, secara tempatan dan juga global. Dianggarkan seramai 4 juta anak-anak muda tidak hadir ke sekolah setiap hari di Amerika Syarikat (Disconnect, 2008). Bagi Malaysia pula, Kajian Kementerian Pelajaran (1978) telah menyatakan bahawa isu ponteng merupakan isu utama dan menurut kertas kerja Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia (Abdul Raof Husin, 1999), bilangan kes ponteng sekolah merupakan kategori salah laku yang paling tinggi iaitu sebanyak 38053 kes.
Faktor-faktor yang mempengaruhi?


    Terdapat pelbagai faktor bagi isu ini. Antaranya adalah pengaruh rakan sebaya, suasana di sekitar sekolah, keluarga atau guru, pengaruh media elektronik dan faktor yang tidak asing lagi adalah sikap pelajar itu sendiri. Terdapat beberapa kajian telah dijalankan di kawasan yang berbeza di Malaysia bagi mengenal pasti faktor utama yang menyebabkan kes ini begitu tinggi. Dalam artikel kali ini, saya sertakan dua dapatan kajian tentang faktor yang mempengaruhi gejala ponteng di kalangan pelajar sekitar negeri johor pada tahun 2007 dan 2012.
gambar 1 : Hasil Kajian Faktor-faktor ponteng Di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selesa Jaya 2, Skudai (Norhasilah Mat Nor et al., 2012)

gambar 2 : Hasil Kajian faktor-faktor ponteng di kalangan pelajar sekolah menengah sekitar johor (Azizi Yahaya  et al., 2007)



    Melihat pada dua dapatan kajian di atas, kita dapat lihat dengan jelas bahawa faktor yang mempengaruhi gejala ponteng ini berubah mengikut tempat dan pelajar. Kebanyakan pelajar mungkin memilih untuk ponteng kerana tidak menyukai guru di sekolah, namun faktor suasana sekolah juga memainkan peranan yang besar dalam masalah ini. Suasana sekolah menjadi antara faktor tertinggi dalam masalah ini berdasarkan dua kajian ini.  

    Suasana sekolah tidak dinafikan penting bagi melahirkan rasa sayang pelajar kepada sekolah serta meningkatkan rasa ingin belajar pelajar.  Bayangkan jika sekolah didirikan berdekatan dengan pusat membeli-belah, konsentrasi pelajar pasti lebih mudah terganggu . Berdasarkan Hussein (1993) pembelajaran yang berkesan datangnya dari suasana sekolah yang tenteram, kerana ketenteraman itu amat kritikal bagi melahirkan pencapaian yang baik di kalangan pelajar. Suasana kondusif dan positif amaat diperlukan bagi memastikan minat peleajar untuk dating berterusan. Peranan guru juga kritikal keran sebilangan besar pelajar lebih rela ponteng daripada berdepan dengan guru yang mereka tidak suka. Guru perlu bersikap lebih sabar dalam menangani pelajar-pelajar yang agak bermasalah. Sesetengah guru memandang rendah dengan sebilangan pelajar ataupun bersikap pilih kasih terhadap pelajar. Sikap sebegini daripada seorang pendidik boleh mengeruhkan lagi masalah ini.

    Sikap pelajar itu sendiri juga tidak dinafikan menjadi penyebab. Kadang kala, guru atau ibu bapa langsung tidak menyakitkan hati pelajar, namun pelajar sendiri yang merasa bosan tidak sanggup meneruskan pelajaran lalu ponteng. Pengaruh rakan sebaya pula semakin meningkat kerana anak-anak muda kini lebih suka dan selesa bersama rakan.

Menangani Ponteng

    Ibu bapa perlu sentiasa peka dengan anak-anak. Kita tidak perlu kongkong mereka secara keterlaluan, juga tidak boleh mengabaikan mereka. Ibu bapa perlu mengambil tahu aktiviti dan masalah anak-anak di sekolah, kecenderungan dan minat mereka untuk mempelajari sesetengah subjek, serta rakan-rakan rapat mereka di sekolah. Kerjasama antara pihak sekolah dan ibu bapa penting bagi mengelakkan kes ini terus meningkat.  Sekolah perlu lebih tegas dalam menangani masalah ini agar pelajar tidak sewenang-wenangnya meninggalkan kawasan sekolah tanpa sebab munasabah ataupun kebenaran dan memandang remeh dengan ilmu yang mereka akan dapat di sekolah.  Pelajar-pelajar terdiri dari  anak-anak muda perlu disedarkan betapa tingginya martabat ilmu sebagai tonggak wawasan Negara seperti  Saidina Ali Abi Talib pernah menyatakan, “Ilmu apabila diperdagangkan bertambah, sebaliknya harta apabila diperdagangkan berkurang. Justeru, ilmu menjaga kamu dan kamu menjaga harta”

-Siti Hatiza-

Sumber dan Rujukan :

Azizi Yahaya, Shahrin Hashim, Yusof Boon, How L.C. (2007). Menguasai Penyelidikan Dalam Pendidikan. Pahang: PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Disconnect. (2008). Why Kids Skip School. Retrieved from http://connectwithkids.com/wp-content/uploads/2014/09/Disconnect_1up.pdf

Hussein Hj Ahmad. (1993). Pendidikan dan Masyarakat. Kuala Lumpur :  Dewan Bahasa dan Pustaka.

Norhasilah Mat Nor, Aspaniza Hamzah,  Nurul Farhana Junus. (2012). Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Gejala Ponteng Di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selesa Jaya 2, Skudai.  Journal of Educational Psychology & Counseling , 5, 12-29 .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Isu Buli: Bagaimana Pendidikan Moral Dapat Mengatasi Masalah Buli di Sekolah

  Bagaimana Pendidikan Moral Dapat Mengatasi Kes Buli di Sekolah Pendidikan Moral dapat mengatasi masalah buli kerana dalam p...