Selasa, 29 Ogos 2017

Pencemaran Alam Sekitar : Isu Melibatkan Moraliti Manusia yang Sering Dipandang Enteng

        Pencemaran alam sekitar merupakan satu isu yang amat dikenali seantero dunia. Bukan sahaja menjadi isu semasa yang masih aktif sehingga sekarang, bahkan, isu ini juga tersenarai sebagai salah satu isu moral tempatan dan global . Ini kerana isu ini tidak akan menjadi kritikal sekiranya setiap manusia di muka bumi ini benar-benar kisah akan kesan pencemaran alam sekitar dan ini melibatkan kesedaran sivik dan moral manusia.

        Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, pencemaran bermaksud sesuatu perbuatan yang mencemarka atau mengotorkan , pengotoran alam atau perbuatan yang mencemarkan kebersihan alam sekeliling dengan sampah sarap. Antara pencemaran yang paling kerap berlaku adalah pencemaran air, udara dan tanah. Terdapat juga pencemaran lain seperti pencemaran bau  dan pencemaran bunyi.
Kuala Lumpur diselubungi jerebu yang tebal tahun 2015 (sumber : http://www.straitstimes.com/asia/se-asia/malaysia-mps-seek-laws-to-punish-firms-causing-haze )

        Plumer telah menulis sebuah artikel pada tahun 2012 mengenai pencemaran udara dan menyatakan bahawa pada tahun tersebut , pencemaran udara kini membunuh lebih ramai orang berbanding kandungan kolesterol tinggi. Bayangkan berapa teruknya pencemaran ketika itu, dan sehingga tahun ini pencemaran semakin menjadi-jadi akibat kekurangan kesedaran sivik dan moral manusia. Plumer menyatakan pada tahun 2010, pencemaran udara luar telah meragut 3.2 juta nyawa , terutamanya di Asia manakala di Afrika dan India pula, pencemaran udara dalam telah meragut 3.5 juta nyawa. Pencemaran tanah di Malaysia dan negara lain juga tidak kurang hebatnya. Ini terjadi apabila kawasan melalui pertukaran warna,kesuburan,dan hakisan . Kita boleh lihat kesan-kesan pencemaran tanah dengan kejadian tanah runtuh serta banjir kilat.

Punca-puncanya

        Pencemaran udara mempunyai pelbagai faktor penyebab, contohnya adalah pembakaran terbuka, asap-asap dari kilang serta asap daripada kenderaan bermotor. Pembakaran terbuka bukan sahaja menyumbang kepada pencemaran udara yang serius, malahan menjadi faktor utama dalam penipisan ozon, kesan rumah hijau serta hujan asid yang akan menyebabkan kanser . Jerebu menjadi teruk apabila terlalu banyak pembakaran dilakukan di suatu tempat, ditambah pula dengan asap-asap tebal dari kilang-kilang serta kenderaan sehinggakan banyak sekolah terpaksa ditutup .

        Pencemaran air selalunya berpunca daripada pembuangan sampah sarap, pembuangan air kumbahan serta sisa toksik. Sungai dan laut yang tercemar menyebakan kepupusan hidupan laut serta membawa kepada pelbagai penyakit kepada manusia  . Kebanyakan kilang-kilang pemprosesan dibina berhampiran dengan sungai agar sisa yang dihasilkan dapat dibuang dengan mudah. Moraliti mereka yang terbabit dalam hal sebegini amat rendah kerana mereka langsung tidak memikirkan kesan-kesan sisa buangan yang mereka salurkan ke dalam sungai.  Sesetengah orang yang mementingkan diri sanggup membuang sampah sarap ke dalam sungai dan laut.



        Pencemaran tanah pula berlaku dengan berlakunya pembuangan sampah sarap dan sisa toksik tanpa pengawalan yang rapi. Pembuangan  sampah sarap dan sisa toksik menyebabkan kemerosotan kualiti tanah dan memberi impak negatif kepada alam sekitar serta manusia . Kejadian tanah runtuh dan banjir kilat yang sering kita alami merupakan kesan yang paling ketara. Ini berlaku apabila kerakusan manusia untuk mendapatkan untung lumayan dengan penebangan balak di kawasan hutan. Tanah menjadi gondol dan longgar tanpa sebarang pokok yang berfungsi sebagai penghalang daripada tanah mudah terhakis seterusnya menyebabkan tanah runtuh  serta  banjir kilat  dan boleh meragut nyawa manusia.

Sungai yang tercemar dengan pelbagai jenis sisa buangan di Changsha, Wilayah Hunan,China ( sumber : 

Langkah-langkah Pencegahan

     Pendedahan media massa tentang kes-kes yang berlaku disebabkan oleh pencemaran patut dipaparkan dengan lebih jelas agar manusia lebih peka akan kesan-kesan pencemaran sekiranya kita tidak menjaga alam sekitar. Manusia perlu dididik dari kecil untuk lebih menghargai alam sekitar agar pencemaran dapat dikurangkan.

           Masyarakat juga digalakkan untuk berkongsi kenderaan dengan keluarga atau rakan dan menggunakan kenderaan awam yang tersedia sebagai langkah mengurangkan asap yang dilepaskan dari kenderaan dan mengelak kesesakan jalan raya yang teruk. Kilang-kilang yang melepaskan asap atau bahan buangan berbahaya perlu menggunakan penapis khas agar asap dan sisa toksik dapat ditapis sebelum dilepaskan ke udara atau dibuang ke dalam sungai/laut.

           Pihak berkuasa perlu mengenakan tindakan undang-undang yang lebih tegas terhadap manusia yang melakukan pembalakan haram. Pemeriksaan perlu dibuat kerap agar tiada pembalakan haram yang terlepas pandang. Kaedah kitar semula juga amat digalakkan supaya pembuangan sampah-sarap yang tidak mudah dihapuskan dapat dikurangkan.

Kesimpulannya, pencemaran alam sekitar tidak akan berlanjutan sekiranya semua manusia mempunyai tahap kesedaran sivik dan moral yang tinggi. Kita perlu sama-sama peka terhadap isu ini agar alam sekitar dapat dijaga dengan sebaiknya.

-Siti Hatiza-

Sumber dan rujukan :

Brad Plumer. 2012. Air pollution now kills more people than high cholesterol . Didapati daripada         https://www.washingtonpost.com/news/wonk/wp/2012/12/20/air-pollution-now-kills-more-people-than-high-cholesterol/?utm_term=.839213e9531e


Claysa J. & Susana R.D. 2017. Isu Moral Tempatan dan Global. Didapati daripada http://bkdiansmoral.blogspot.my/2017/03/isu-moral-tempatan-dan-global-1.html

Rabu, 23 Ogos 2017

Rempit dan Lumba Haram

Mat Rempit dan Lumba Haram Sering Berkait

Lumba Haram dan Rempit ( sumber : http://www.kedahnews.com/2015/09/perlu-pendekatan-lebih-berkesan-tangani.html )

       Dewasa ini, semakin hari semakin banyak kes-kes rempit dan perlumbaan haram telah dipaparkan di kaca televisyen . Masalah sosial dan moral kali ini dipelopori anak-anak muda lelaki seawal usia 14 tahun. Mat Rempit dan perlumbaan haram sering berkait rapat . Ini kerana istilah perlumbaan haram membawa maksud suatu perlumbaan yang melibatkan kenderaan bermotor di atas jalan raya awam tanpa kebenaran dari pihak berkuasa ataupun dianjurkan tanpa penganjur yang sah manakala mat rempit pula bermaksud penunggang yang terlibat dalam perlumbaan haram tersebut. Mat rempit lebih dikenali sebagai penunggang motor yang terlibat dalam pelbagai lumba haram dan sering kali dikaitkan bersama minah rempit. Perlumbaan haram melibatkan pelbagai jenis kenderaan tetapi motor merupakan kenderaan yang paling biasa digunakan di Malaysia .

Dapatan kajian bilangan dan peratusan umur mereka yang terlibat dalam kegiatan lumba haram dan rempit (sumber : Rozmi dan Norhayati, 2007)

           Lumba haram bukan sahaja menjadi satu masalah moral di kalangan remaja ataupun pelajar sekolah, malahan merupakan satu masalah moral tempatan yang serius bagi negara kita. Perlumbaan haram selalunya dijalankan pada waktu lewat malam dan bandar-bandar besar.Terdapat juga sekumpulan mat-mat rempit yang memang sedia wujud di kawasan-kawasan kampung , dan seterusnya terlibat dengan perlumbaan haram apabila berhijrah ke kawasan bandar. Kadang kala, aktiviti ini juga dilakukan ketika ramai pengguna lain yang masih ada di jalan raya sehingga menyebabkan  banyak masalah serta menyusahkan pengguna jalan raya yang lain. Mat-mat rempit dan minah-minah  rempit yang terlibat pula tidak menghiraukan langsung keselamatan pengguna awam yang lain dan sering membuli pengguna lain yang menegur mereka.

Di bawah merupakan statistik saman untuk lumba haram yang dikeluarkan di Pahang pada tahun 2015 :


Tempat

Jumlah Saman

Kuantan

3454

Temerloh

2552

Bera

2111

Maran

1885

Bentong

1556

Raub

1302

Lipis

1211

Pekan

886

Jerantut

716

Cameron Highlands

536

Rompin

454


Punca-punca Lumba Haram dan Rempit


          Antara punca yang menyebabkan rempit adalah sifat ingin mencuba. Anak-anak muda berdarah muda sememangnya cenderung untuk mencuba perkara-perkara baru terutamnya perkara yang mencabar keberanian mereka. Filem-filem ganas yang ditonton mendorong kepada sifat ingin mencuba sendiri lumba haram seperti yang mereka lihat dalam filem tersebut.  Pengaruh rakan sebaya juga tidak kurang besarnya peranan dalam masalah sosial ini. Remaja lebih senang meluangkan masa bersama rakan sebaya  dan mereka akan lebih mudah terpengaruh sekiranya mereka tersalah pilih rakan. 

          Sesetengah remaja juga terikut-ikut dengan aktiviti lumba haram dan rempit kerana ingin melepaskan rasa marah terhadap keluarga yang kurang memberikan perhatian ataupun suasana rumah yang tidak aman. Segelintir pula melakukan aktiviti itu hanya untuk suka-suka. Beberapa lumba haram pula menyediakan wang, perempuan, dadah dan lain-lain sebagai habuan dan ini semestinya menarik minat pelbagai lapisan umur generasi muda.  Mat Rempit juga menyediakan peluang bagi seseorang itu membuktikan nilai diri, kelelakian dan keseronokan mudah dengan perlumbaan haram lebih-lebih lagi apabila melawan penguatkuasa undang-undang  (Rozmi Ismail, 2004), oleh itu mereka lebih berkobar-kobar untuk mengikuti aktiviti yang tidak berfaedah itu.

Lumba haram kereta di Ipoh (sumber : ipoh ipoh http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/154-kereta-ditahan-1.449682 )
Usaha Menangani Kegiatan Ini

         Usaha dalam menangani masalah ini sudah dibuat sejak dahulu lagi dan tidak pernah dihentikan. Pelbagai usaha dilakukan agar aktiviti seperti ini dapat dibanteras kerana lumba haram dan merempit hanya akan menjurus kepada jenayah yang lebih berat lagi sekiranya tidak dibendung. Antara usaha yang dapat dilihat adalah kempen-kempen untuk memandu atau menunggang dengan berhemah yang dilakukan di seluruh negara sama ada di sekolah ataupun di tempat awam serta melalui media massa.

          Pihak berkuasa juga sering melakukan sekatan jalan raya di kawasan-kawasan panas yang sering dijadikan litar berlumba. Terdapat juga undang-undang yang akan menghukum mereka yang terbabit dalam kesalahan ini, namun ada kemungkinan juga mat-mat rempit dan pelumba haram tidak gentar kerana mereka memandang ringan dengan undang-undang yang sedia ada dan menganggap hukuman itu ringan dan tidak menyusahkan mereka. Contohnya, elumba haram yang ditahan hanya akan didakwa di bawah peruntukan undang-undang trafik dibawah kanun keseksaan perkara 279 iaitu memandu dengan melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain. Sekiranya mereka disabitkan kesalahan, mereka boleh diberi denda RM 5000 hingga 15000 dan/atau dihukum penjara mandatori sekurang-kurangnya sehari tetapi tidak lebih dari pada lima tahun .

           Menurut bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor (Utusan Online, 2015) berkata, hukuman sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 boleh ditambah baik dengan memperkenalkan elemen-elemen pencegahan seperti membatalkan lesen dan tidak membenarkan mereka yang terlibat dengan kes lumba haram daripada memohon lesen yang baru. Undang-undang yang sedia ada perlu ditambahbaik kerana lumba haram kini semakin banyak kes yang melibatkan keselamatan pengguna awam yang lain. Ini disebabkan pelumba haram dan mat-mat rempit semakin berani mencabar pihak berkuasa dan tidak menghiraukan keselamatan orang lain.

Pelumba haram ditahan ( sumber : https://www.rmp.gov.my/news-detail/2015/05/18/30-remaja-terlibat-lumba-haram-di-kedah-ditahan)

         Kesimpulannya, kita perlu berusaha bersama-sama untuk membanteras kegiatan ini daripada berterusan. Ibu bapa perlu memberikan perhatian yang lebih kepada anak-anak dan mendidik mereka agar tidak mudah terjerumus dalam masalah ini. Pihak berkuasa perlu melaksanakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah berulang agar mereka tahu akan kesannya terlibat dalam aktiviti yang tidak berfaedah malahan berbahaya ini. Tidak mudah untuk menghalang daripada masalah ini terus berlaku namun, usaha yang berterusan pasti membawa sinar harapan kepada semua orang.  Selagi kita masih punya TEKAD untuk melakukan sesuatu, maka belum TERLAMBAT untuk membanteras jenayah ini daripada berlanjutan. 

-Siti Hatiza-

Sumber dan Rujukan :

Bernama. (2015, November 16). Lumba haram: 16,662 saman dikeluarkan di Pahang. Didapatkan Mac 18, 2017, daripada Telus dan Tulus Sinar Online: http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/lumba-haram-16-662-saman-dikeluarkan-di-pahang-1.452333

Rozmi Ismail. 2004. Gejala perlumbaan haram di kalangan Remaja; Satu Kajian Memahami faktor penglibatan dan jenis personaliti pelumba, dalam Prosiding Seminar Kebangsaan ke3 Psikologi dan Masyarakat: Gejala Sosial dalam Masyarakat.  1-36

Rozmi Ismail dan Norhayati Ibrahim. 2007. Faktor-faktor Mempengaruhi Keterlibatan Remaja Dalam Perlumbaan Motorsikal Haram dan Hubungannya dengan Jenis Personaliti, Sokongan Sosial, dan Coping Skill . 1-35

Utusan Online. (2015, Mei 06). Hukuman lebih berat lumba haram. Didapatkan daripada http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/hukuman-lebih-berat-pelumba-haram-1.88401





Sabtu, 12 Ogos 2017

Gejala Jenayah Di Kalangan Remaja

Jenayah Di Kalangan Remaja





Hari ini, masyarakat kita telah dikejutkan dengan pelbagai kes jenayah yang melibatkan pelajar dan remaja. Kejadian jenayah tersebut telah menggambarkan keseriusan kejadian jenayah di kalangan pelajar dan remaja. Semakin hari kes-kes jenayah ini semakin berleluasa.lsu ini sungguh memalukan memandangkan negara kita sekarang merupakan negara yang sedang pesat membangun. persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan berleluasanya kegiatan jenayah di kalangan pelajar dan remaja dan apakah masalah ini dapat diatasi? 

Jika dikaji begitu banyak punca berlakunya kes-kes jenayah di kalangan remaja. Antaranya ialah didikan yang kurang sempurna daripada ibu bapa dan keluarga. Ibu bapa ialah orang yang paling dekat dan yang paling penting dalam pembentukan peribadi dan sahsiah di kalangan anak-anak. Pada zaman teknologi maklumat dan globalisasi sekarang, mereka sentiasa sibuk bekerja dalam mengisi tuntutan kebendaan sehingga mereka lupa akan tanggungjawab hakiki mereka iaitu mendidik dan mengajar anak-anak menjadi insan yang sempurna. Inilah punca utama yang menyebabkan akhlak pelajar-pelajar dan remaja-remaja runtuh. Natijahnya mereka tergamak melakukan jenayah berat seperti merogol, membunuh, menyamun, dan peras ugut. 



Pengaruh rakan sebaya juga merupakan punca berleluasanya kegiatan jenayah di kalangan pelajar-pelajar dan remaja-remaja kerana mereka sungguh rapat dengan rakan-rakan sebaya mereka. Pelajar-pelajar lebih banyak menghabiskan masa mereka di sekolah dan selepas pulang dari sekolah pula, mereka akan melepak di tempaMempat tertentu seperti pasar raya sebelum pulang ke rumah. Mereka lebih suka mencari rakan sebaya untuk menemani mereka. Jika mereka bijak memilih rakan yang dapat memimpin mereka, mereka tidak akan mudah terjebak dengan kegiatan yang tidak bermoral. Sebaliknya jika mereka tersalah pilih rakansudah pastimereka juga akan berkelakuan tidak bermoral kerana sememangnya remaja-remaja mudah terikut perangai rakan. Di sinilah berpuncanya kegiatan jenayah seperti peristiwa membakar sekolah, kes ragut, dan sebagainya. 

Selain itu, media massa juga menjadi punca kegiatan jenayah di kalangan remaja.Tidak dinafikan kemudahan seperti Internet, e-mel, televisyen, dan radio memudahkan kita untuk berkomunikasi, mendapatkan maklumat, dan berhibur. Akan tetapi banyak juga kesan-kesan negatif daripada kemudahan ini. Jika tidak dimanfaatkan dengan betul. Contohnya, menyalahgunakan Internet untuk memalsukan data-data penting, menonton gambar-gambar lucah, dan sebagainya yang akan mendorong mereka untuk melakukan jenayah seperti rogol, bunuh, pengedaran pil-pil khayal, dan dadah. 

Namun begitu, segala jenayah di atas dapat dibendung jika perhatian dan pendekatan yang lebih diberikan kepada remaja-remaja tersebut. Contohnya, ibu bapa hendaklah memberikan perhatian yang lebih kepada anak-anak ketika di rumah kerana segalanya bermula daripada rumah. Pendidikan agama dan nilai-nilai murni mestilah diterapkan supaya anak-anak dapat menilai antara perkara baik dan buruk. 



Remaja juga haruslah pandai memilih rakan sebaya kerana sememangnya remaja mudah ter- pengaruh dengan kawan-kawan mereka. Di sini, ibu bapa mesti tahu dengan siapa anak mereka berkawan. Pengaruh media massa juga hendaklah dibendung. Pelajar hanya perlu mengetahui maklumat-maklumat yang hanya berkaitan tentang pelajaran sahaja. Cara sebegini dapat menghasilkan pelajar bermaklumat sekaligus dapat membendung jenayah di kalangan remaja. 

Selain itu, pihak sekolah juga perlu memantapkan lagi disiplin sekolah bagi menjamin kegiatan salah laku pelajar berkurangan. Setiap kesalahau. pelajar seperti ponteng sekolah, merokok, menghisap dadah, atau memukul pelajar lain hendaklah didenda setimpal dengan kesalahan mereka. Ibu bapa mereka juga harus ke sekolah untuk berbincang bagi mencari pendekatan awal dalam mengatasi masalah yang lebih serius. 


Kuat kuasa undang-undang hendaklah diperketatkan. Remaja bawah umur yang melakukan kegiatan jenayah berat seperti bunuh hendaklah dikenakan hukuman mati mandatori bagi memberi pengajaran kepada remaja-remaja lain. 

Kesimpulannya, pelajar-pelajar haruslah didedahkan kepada isu-isu semasa, kempen-kempen, khemah kerja, motivasi dan sebagainya bagi menyedarkan mereka bahawa merekalah generasi pemangkin negara. Sekali gus, perkara sedemkian dapat memberi pengajaran kepada mereka. Golongan tersebut juga perlu mengetahui bahawa segala kes jenayah akan merosakkan masa depan mereka.

-Ritah Majip-


Langkah Mengatasi Pembuangan Bayi



Langkah Mengatasi Kes Pembuangan Bayi
         Kes pembuangan bayi dapat diatasi dengan beberapa cara iaitu melibatkan individu yang terlibat iaitu remaja,intitusi keluarga yang terlibat terutamanya peranan ibu bapa, pendakwah yang terdiri daripada di kalangan ahli-ahli agama,termasuk badan-badan dakwah dan pihak kerajaan

      Individu yang terlibat ialah mereka yang terbabit dalam masalah khususnya kes pembuangan bayi, iaitu remaja. Mereka seharusnya mempunyai kesedaran dan usaha untuk memahami bahawa apa yang mereka lakukan adalah bercanggah dengan kemurnian agama dan juga salah di sisi undang-undang.pergaulan bebas tanpa batasan membawa kepada penzinaan dan lahir anak luar nikah menyebabkan kes pembuangan bayi berlaku dalam kalangan remaja.Hal ini jauh daripada kemurnian agama.

       Selain itu Institusi kekeluargaan iaitu peranan ibubapa dalam mendidik anak-anak dari segi sahsiah mereka. Ibu bapa merupakan insan yang yang mempunyai hubungan paling rapat dengan anak-anak. Anak-anak merupakan kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkan kain putih itu.Seharusnya ibu bapa menjadi insan yang paling rapat dengan anak-anak,terutama remaja di samping mengambil tahu pergerakan mereka setiap masa, contohnya dengan siapa mereka keluar, ke mana mereka keluar dan aktiviti-aktiviti yang mereka lakukan. Sifat ibu bapa yang terlalu mempercayai anak-anak hinggakan mereka membiarkan  anak-anak keluar sesuka hati boleh mengundang parah. Sifat ibu bapa yang mengabaikan anak-anak dengan mengejar kebendaan dan kemajuan, sememangnya melalaikan tangungjawab ibu bapa untuk mendidik sahsiah anak-anak dan terutama sekali dengan memberikan kasih sayang yang diperlukan oleh anak-anak. Ibu bapa seharusnya sedar, bahawa sesibuk mana pun mereka, tanggungjawab terhadap anak-anak dan keluarga seharusnya tetap di jalankan ataupun dilunaskan. Oleh itu ibu bapa mempunyai peranan dalam membentuk sahsiah dan corak kehidupan anak-anak mereka.             

       Selain itu, pendakwah yang terdiri daripada kalangan ahli-ahli agama, termasuk badan-badan dakwah dan pertubuhan agama amat diperlukan dalam membantu menangani masalah pembuangan bayi. Dalam satu sudut pandangan lain, para pendakwah bukan hanya menghukum dan menyalahkan pihak-pihak yang terlibat tetapi juga golongan ini seharusnya memikirkan kaedah-kaedah dan mencadangkan cara penyelesaian  masalah ini. Selain itu para pendakwah juga seharusnya memikirkan bagaimana untuk mendekati golongan yang terlibat dalam masalah ini. Disamping itu, badan-badan dakwah di bawah kerajaan mahupun NGO yang terdiri daripda ahli-ahli agama boleh menganjurkan program-program berbentuk kesedaran motivasi dalam kalangan masyarakat terutama sekali di kalangan remaja.

       Selain daripada agensi-agensi yang dinyatakan, Pihak Kerajaan juga harus mengambil peranan untuk membantu pihak dakwah mencegah kes prmbuangan bayi. Kerajaan merupakan pihak yang berhak menggubal undang-undang atau akta terhadap sesuatu permasalahan atau isu yang melanda. Pihak kerajaan seharusnya melakukan sesuatu yang lebih serius dan berkesan untuk membanteras punca-punca masalah sosial yang berlaku terutama sekali masalah pembuangan bayi di kalangan remaja ini. Pusat-pusat hiburan, kelab-kelab malam, pusat karaoke, pusat pelacuran, arak, rumah urut, pusat judi dan lain-lain.Ini merupakan punca-punca masalah sosial yang membawa pada pergaulan bebas, zina dan kelahiran anak luar nikah. Hiburan, konsert dan filem-filem yang kini menguasai saluran-saluran televisyen dan radio,kebanyakannya menyebarkan budaya berbaur lucah adalah salah satu punca yang menyebabkan masalah sosial dalam kalangan remaja. Oleh itu,pihak kerajaan dan agensi-agensi lain memainkan peranan mereka bagi mengawal masalah ini daripada terus berleluasa.

       Kempen mengerjakan solat bagi yang muslim dan beribadat ke gereja bagi yang keristian juga merupakan salah satu cara bagi membantu remaja daripada terjerumus dalam gejala sosial. .Pihak kerajaan keementerian ataupun yayasan yang bertanggungjawab dalam urusan agama,seharusnya menjadi penggerak utama. Selain itu,penyediaan pusat keunseling khususnya kepada golongan remaja bermasalah merupakan salah satu cara yang boleh mengurangkan permasalahan sosial yang berlaku. Tidak dinafikan bahawa usaha ini telah ada, namun perlu dilipat gandakan lagi kewujudan dan sokongan dari semua pihak agar kejayaannya lebih berkesan.

       Maka dengan itu, remaja hendaklah sedar akan risiko dan  masalah yang akan di hadapi apabila terjerumus dalam gejala sosial. Oleh itu seruan kepada semua pihak sama ada individu, keluarga, golongan agama, badan-badan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat serta pihak kerajaan agar serius dan tingkatkan kerjasama dalam usaha membendung isu ini. Selagi usaha dan tindakan masih tidak dilaksanakan, isu pembuangan bayi tidak akan selesai, malah berbagai-bagai isu dan tragedi yang lebih menakutkan akan terjadi di negara malaysia.
-Ritah Majip-

Isu Buli: Bagaimana Pendidikan Moral Dapat Mengatasi Masalah Buli di Sekolah

  Bagaimana Pendidikan Moral Dapat Mengatasi Kes Buli di Sekolah Pendidikan Moral dapat mengatasi masalah buli kerana dalam p...